
KOTA KINABALU – Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan berita palsu serta kandungan menyalahi undang-undang sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk segera mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh pemantauan terhadap penyalahgunaan media sosial dalam tempoh kempen.
“Jadi saya telah mengarahkan supaya MCMC mengadakan perbincangan dengan pihak SPR dan juga PDRM kerana kita jangkakan bagi PRN Sabah, sudah pasti banyak aktiviti berkempen akan dilakukan secara dalam talian melalui media sosial.
“Salah satu perkara penting ialah memastikan tindakan pantas boleh diambil terhadap sebarang kandungan yang dikenal pasti oleh SPR sebagai melanggar peraturan pilihan raya,” katanya dalam sidang media sempena program Tabung Kasih@HAWANA, di sini pada Khamis.
Menurut Fahmi, beliau juga telah meminta MCMC dan PDRM mengadakan sesi taklimat kepada semua wakil calon yang akan melakukan pemantauan sepanjang tempoh berkempen, supaya mereka tahu cara membuat aduan jika mendapati sebarang penyebaran maklumat palsu atau kandungan terlarang di media sosial.
“Selain itu, saya juga telah minta pasukan MCMC yang akan bertemu dengan pihak Meta dan TikTok di Singapura minggu depan supaya memberi penegasan berhubung keperluan tindakan pantas dari pihak platform dalam menangani isu kandungan yang menyalahi undang-undang, khususnya yang dikenal pasti SPR sebagai melanggar peraturan pilihan raya,” ujarnya.
Beliau menjelaskan langkah ini merupakan antara usaha bersepadu kerajaan untuk memastikan PRN Sabah berlangsung dalam keadaan aman, adil dan bebas daripada penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan pengundi atau mencetuskan ketegangan awam.
Fahmi turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara agensi penguat kuasa dan penyedia platform digital amat penting dalam mengekang penyalahgunaan ruang siber semasa musim pilihan raya.







