
PUTRAJAYA – Seramai 4.37 juta pekerja akan menikmati kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 berkuat kuasa esok berbanding RM1,500 sebelum ini.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan, perintah gaji minimum baharu itu ditetapkan kepada majikan menggajikan lima orang pekerja atau lebih serta majikan menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.
Bagi majikan menggajikan kurang daripada lima pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos ini bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.
“Langkah ini bakal memanfaatkan 4.37 juta pekerja selaras dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif.
“Ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk ‘Menaikkan Lantai’ ekonomi negara dengan meningkatkan kuasa beli yang seterusnya dapat menambah baik kualiti hidup rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
KESUMA mengingatkan semua majikan diwajibkan mematuhi Perintah Gaji Minimum terbabit dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan.
Kegagalan majikan mematuhi Perintah Gaji Minimum itu adalah satu kesalahan dan boleh didenda sebagaimana diperuntukkan mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
“Bagi memastikan peralihan ini dapat berjalan lancar, KESUMA menyediakan beberapa inisiatif sokongan kepada majikan dan pekerja, termasuk menyediakan saluran aduan dan pemantauan bagi pekerja yang menghadapi ketidakpatuhan menerusi menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah, dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak.
“KESUMA juga bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memberi panduan dan bantuan kepada syarikat yang memerlukan penyesuaian dalam struktur gaji,” katanya.