IPOH – “Orang hendak buat aduan sekarang, terlalu mudah. Guna telefon, tangkap gambar dan terus hantar ke kami. Kami pun sampai.”
Demikian antara kata-kata nasihat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal ehwal Pengguna (KPDN) Perak kepada pemilik sebuah kedai yang terletak di dalam Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, di sini, yang didapati menjual barangan dengan harga mahal.
Menurut jurucakap KPDN Perak daripada Unit Kita Gempur (Gerakan Membanteras Manipulasi Dan Ketirisan), pihaknya bertindak susulan banyak menerima aduan daripada orang awam berkaitan premis di dalam HRPB menjual barangan pada harga mahal berbanding harga di luar.

Bahkan ujarnya lagi, ini merupakan serbuan kali kedua di premis sama di mana sebelum ini, pihak KPDN Perak pernah melakukan pemeriksaan mengejut (spot check) dan mendapati mereka menjual barangan seperti coklat dan barangan makanan lain dengan harga tidak munasabah.
“Kali ini, kami (KPDN) bertindak susulan aduan awam yang mendakwa premis di sini menjual barangan pada harga mahal serta tidak masuk akal.
“Ini serbuan kami kali kedua ke atas premis sama dan apa yang dikesali, mereka (pemilik) masih melalukan kesalahan sama (menjual harga mahal),” katanya pada satu kenyataan yang dimuat naik pada aplikasi Tik Tok milik KPDN Perak, pada Selasa.
Tambah jurucakap berkenaan, pihaknya bertindak mengambil beberapa sampel barangan makanan untuk dianalisis daripada segi harga invois, harga jualan dan kos bagi memastikan sama ada pemilik meletakkan harga mahal atau sebaliknya.

“Kita juga telah menyerahkan notis bertulis di bawah Seksyen 21, Akta 2011 Kawalan Harga dan Antipencatutan berkaitan lima barang untuk kita buat analisis dari segi harga jualan dan juga harga kos.
“Pemilik perlu menjawab dan menyerahkan kembali notis tersebut kepada kita dalam tempoh enam hari,” jelasnya lagi.
Menjelas lanjut, KPDN Perak menasihatkan agar pemilik premis memastikan harga barangan yang dijual munasabah serta sama-sama memberi keuntungan dan faedah kepada pihak peniaga mahupun pelanggan.
“Pastikan kita jual pada harga yang munasabah. KPDN juga bukan mahu menganiaya peniaga.
“Perlu diingat, kebanyakkan yang datang ke sini (hospital) majoriti golongan B40, jadi juallah pada harga yang kedua-dua belah pihak dapat keuntungan serta faedahnya,” katanya tegas.






