
JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah merangka strategi bagi menangani kes cacat monyet atau Mpox sekiranya dikesan berada di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, ia termasuklah pengaktifan bilik gerakan Mpox peringkat negeri jika diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut beliau, perancangan terperinci ini telah diputuskan sebagai tindak balas kepada kecemasan kesihatan awam kebimbangan antarabangsa atau PHEIC yang diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Meskipun Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC ) Johor tidak mengesan kes mpox atau cacar monyet setakat ini, namun persediaan rapi ini adalah tindakan awal susulan kenyataan kerajaan Singapura menjangkakan virus itu berpotensi masuk ke negara republik berkenaan ekoran sambungan penerbangan dari Asia Barat dan Eropah ke Singapura.
“Susulan taklimat KKM Sabtu lalu, JKNJ kini mengambil langkah bersiap siaga mengaktifkan Bilik Gerakan Mpox peringkat negeri jika diarahkan kementerian,” katanya hari ini.
Tambah beliau, selain itu, JKNJ juga akan memperkukuhkan semula aktiviti saringan kesihatan awam di setiap pintu masuk antarabangsa dan fasiliti kesihatan di negeri ini sebagai langkah berwaspada.
Justeru, latihan dan taklimat kepada anggota kesihatan di lapangan akan diberikan bagi tujuan pengesanan awal kes, isolasi dan rawatan juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Sabtu lalu, Berita Harian Singapura melaporkan Menteri Kesihatannya, Ong Ye Kung, menyifatkan keadaan wabak cacar monyet atau Mpox di Afrika dan negara lain adalah sangat membimbangkan dengan beliau menjangkakan virus itu akan tiba ke republik berkenaan.
WHO pada 14 Ogos lalu mengisytiharkan Mpox atau cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun ini.
Ia berikutan sebanyak 27,000 kes dan lebih 1,100 kematian dilaporkan berlaku sejak Januari 2023, sebahagian besarnya menjejaskan kanak-kanak.