SEMPORNA – Tidak berpuas hati apabila kakinya dihempap tangki skuba menjadi punca seorang jurulatih selam menampar dan mengugut mencederakan seorang lelaki warga asing menerusi sebuah video tular di media sosial, pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintenden Jaafar Hakim berkata, susulan insiden itu, suspek warga tempatan berumur 38 tahun berkenaan ditahan selepas laporan polis dibuat mangsa.
“Siasatan awal mendapati pada Selasa lepas, saspek dan mangsa berada dalam sebuah bot dalam perjalanan ke perairan Pulau Timba-Timba bagi aktiviti selam skuba.
“Semasa perjalanan, tong gas diguna mangsa dipercayai tumbang dan menghempap kaki saspek menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Jelas Jaafar, suspek pada Rabu telah mendapatkan rawatan di Hospital Tawau bagaimanapun kembali ke syarikat pelancongan terlibat bertemu mangsa bagi menuntut ganti rugi namun berlaku pertengkaran sehingga saspek bertindak memukul dan mengugut mencederakan mangsa.
“Video ini tular dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang melihat kejadian dimohon tampil menyalurkan maklumat kepada Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Nurfazlina Abdullah di talian 019-8011009 atau tampil ke mana-mana Balai Polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.
Video tular berdurasi 2.49 minit berkenaan mendapat reaksi awam susulan pertengkaran dan tindakan di luar kawalan seorang lelaki menampar seorang lelaki warga asing.







