
SANDAKAN – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan kontraktor yang terlibat dalam projek Lebuhraya Pan Borneo memastikan kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan dengan baik sepanjang tempoh pembinaan bagi mengelakkan kesukaran kepada pengguna jalan raya.
Beliau berkata, jalan yang sedang dinaik taraf di bawah Pakej Kerja WP29 dari Moynod ke Sapi Nangoh, termasuk laluan di Telupid ke Sandakan, perlu diselenggara dengan rapi dan selamat supaya rakyat tidak berdepan kesulitan.
“Saya sendiri melalui jalan-jalan yang terkesan dengan kerja-kerja pembinaan Pan Borneo Sabah terutamanya di pakej 1A dan pakej 1B dan saya dapati penyelenggaraan jalan-jalan tersebut tidak memuaskan.
“Kontraktor yang bertanggungjawab mesti memastikan jalan yang digunakan orang ramai berada dalam keadaan terbaik termasuk menutup lubang-lubang jalan, menyelenggara kerosakan serta melaksanakan pelan pengurusan trafik yang berkesan,” katanya dalam sidang media, Jeti Mawilla 2 Sandakan, di sini pada Isnin.

Ahmad berkata, kelewatan pelaksanaan pakej kerja yang mendapat kelulusan lanjutan masa atau ‘Extension of Time’ (EOT) sehingga ratusan hari turut menyumbang kepada ketidakselesaan rakyat yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.
“Saya tidak suka EOT kerana ia menyebabkan kelewatan dan kesukaran berpanjangan. Ada pakej yang menerima sehingga lima EOT, empat atau tiga EOT.
“Saya sudah menyatakan sebelum ini bahawa Pakej 1B yang melibatkan 19 pakej kerja diharap tidak menerima sebarang EOT lagi,” katanya.
Beliau berkata, pegawai penguasa dan perunding pengurusan projek perlu memantau dengan lebih tegas memberi teguran bertulis kepada kontraktor dan mengeluarkan arahan penyelenggaraan serta-merta di tapak-tapak yang dikenal pasti bermasalah.
“Saya mahu arahan kerja penyelenggaraan dikeluarkan serta-merta dan pemeriksaan susulan dilakukan secara berkala.
“Jangan tunggu Menteri atau Timbalan Menteri turun padang baru mahu bertindak,” katanya.
Tambah beliau, mengingatkan agar semua kerja penyelenggaraan mematuhi spesifikasi keselamatan seperti yang ditetapkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
“Lebuhraya Pan Borneo adalah untuk kemudahan rakyat, maka dalam tempoh pembinaan ini jangan pula rakyat disusahkan,” ujarnya.





