KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan sebagai perantara dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja mendapat pujian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Parlimen, pada Isnin.
Ucapan itu dilihat sebagai pengiktirafan luar biasa daripada blok pembangkang terhadap inisiatif diplomatik yang dipimpin oleh Perdana Menteri atas kapasiti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
Menurut Hamzah, usaha Anwar itu bukan sekadar mencerminkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, malah membuktikan keupayaan negara memikul tanggungjawab sebagai kuasa pengimbang dalam rantau Asia Tenggara.
Jelasnya, pembabitan Malaysia itu adalah usaha bagi memperkukuh kestabilan di rantau ASEAN, sekali gus membawa nama Malaysia terus kekal dihormati sebagai negara yang berdaulat.
“Apa pun peranan yang dimainkan Yang Berhormat Tambun, walaupun ada yang menyifatkan hanya sebagai tuan rumah (Malaysia selaku Pengerusi ASEAN), ia tetap menjadi satu peranan yang akan tersemat dalam lipatan sejarah. Saya ucapkan tahniah dan syabas.
“Apa yang penting, Malaysia terus kekal dihormati sebagai sebuah negara yang berdaulat dan terus dipandang tinggi sebagai kuasa pengimbang yang kompetitif dalam rantau Asia Tenggara,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) di persidangan Dewan Rakyat, pada Isnin.

Isnin lalu, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Anwar bertindak sebagai hos, Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah itu.
Sebelum ini, beberapa pemimpin dunia turut memuji peranan dimainkan Malaysia, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyifatkan kejayaan negara dalam memudah cara perjanjian gencatan senjata sebagai satu tugas yang hebat.





