
BELURU – JKKK Kampung Melayu Bakong tersenarai sebagai antara Top 10 kampung paling proaktif tahun 2025 pada Selasa.
Pengiktirafan tersebut sekali gus meletakkan Kampung Melayu Bakong sebagai antara model pentadbiran kampung terbaik di daerah berkenaan hasil komitmen berterusan dalam pelaksanaan program kemasyarakatan dan tadbir urus yang sistematik.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II merangkap ADUN Marudi, Datuk Penguang Manggil pada majlis penutupan program di Dewan Masyarakat Beluru.
Setiausaha JKKK Kampung Melayu Bakong, Ayesha Jesscynthia berkata, kejayaan itu adalah hasil penilaian berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang merangkumi penglibatan aktif dalam aktiviti kampung, pelaksanaan program tahunan secara konsisten serta keberkesanan pengurusan laporan.

“Antara inisiatif utama kami termasuk penganjuran sukan rakyat bersama Biro Wanita, program ramah tamah bersama penduduk serta aktiviti gotong-royong yang dijalankan secara konsisten bagi memupuk perpaduan dan semangat kerjasama,” katanya.
Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan kesepaduan dan komitmen tinggi penduduk dalam menjayakan setiap program yang dirancang.
“Anugerah ini menjadi pemangkin untuk kami terus memperkukuh peranan JKKK dalam aspek pembangunan sosial dan kesejahteraan komuniti,” ujarnya lagi.
Program taklimat berkenaan diadakan bagi memperkukuh pemahaman KMKK dan JKKK mengenai tadbir urus serta hala tuju pentadbiran kampung agar lebih berkesan dan responsif terhadap keperluan masyarakat.






