KOTA KINABALU – Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah sedang mengenal pasti beberapa suspek penggal kepala gajah di Tawau dalam kejadian baru-baru ini.
Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata JHL masih tiada bukti kukuh untuk mengesahkan suspek yang dikenal pasti adalah pelakunya.
“Saya telah mengikuti perkembangan Pengarah JHL dan mereka sebenarnya sedang berusaha menangkap pelaku ini.
“Dan apa yang beliau maklumkan kepada saya ialah mereka telah mengenal pasti beberapa suspek tetapi masih tiada bukti kukuh.
“Tiada bukti kukuh untuk mengesahkan bahawa merekalah pembunuhnya,” katanya dalam sidang media selepas mengisytiharkan pembukaan Simposium Pemuliharaan Gajah Borneo dan merasmikan Pelan Pengurusan Gajah Tahanan (CEMP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) pada Rabu.

Jelasnya, JHL masih melakukan pemantauan rapi terhadap kes tersebut dan percaya ada kemungkinan penduduk kampung mengetahui identiti pelaku, tetapi enggan tampil menyalurkan maklumat.
“JHL terus memantau situasi ini. Seperti yang saya katakan tadi, saya percaya ada dalam kalangan penduduk kampung yang tahu siapa pelakunya, tetapi mereka enggan tampil ke hadapan.
“Oleh itu, saya perlu berbincang dengan pengarah dan mungkin merangka satu skim insentif, jika perlu.
“Kita mahu mereka tampil dan bekerjasama dengan kita. Kita tidak akan membiarkan perkara ini terus berlaku,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mohon para penduduk kampung untuk tampil membantu siasatan.
Dalam pada itu, pihaknya turut memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku sekiranya berjaya dikenal pasti.
“Saya tidak akan teragak-agak jika kita benar kenal pasti pelakunya, kita akan dakwa mereka di mahkamah dan pastikan mahkamah mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka,” ujarnya.







