KETUA Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi amaran bakal membuat serangan sekali lagi terhadap Israel sebagai tindak balas sekiranya sebarang tindakan ketenteraan dikenakan ke atas Tehran, lapor Anadolu.
“Jangan ulangi kesilapan anda,” kata Jeneral Hossein Salami pada upacara pengebumian yang diadakan untuk Abbas Nilforoushan, seorang komander IRGC, yang terbunuh bersama pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah dalam serangan udara Israel di Beirut bulan lepas.
“Jika anda tersilap langkah, jika anda menyerang apa-apa sasaran kami sama ada di rantau ini atau di Iran, kami akan membalas sekali lagi dengan lebih menyakitkan,” tambahnya seperti yang dipetik oleh media Iran.
Komander Iran berkata bahawa serangan peluru berpandu 1 Oktober ke atas Israel adalah paling ringan’ dalam keupayaan ketenteraan Iran.
“Kami tahu kelemahan musuh (Israel),” tambah Salami.
Amaran Salami dibuat ketika Menteri Luar Iran Abbas Araghchi melawat Mesir pada hari Khamis sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik untuk menghalang sebarang serangan Israel terhadap Iran.
Iran kini berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas tentera Israel mengancam bakal membuat serangan balas berikutan peluru berpandu yang dilancarkan 1 Oktober lalu daripada Tehran, yang mana merupakan tindakan balas terhadap pembunuhan pemimpin Hizbullah dan Hamas baru-baru ini.
Israel bagaimanapun terus mengancam bakal membuat serangan balas yang lebih mematikan, tepat, dan sangat mengejutkan terhadap Iran tidak lama lagi.








