
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini menzahirkan peringatan tegas kepada para pemimpin masyarakat agar tidak memperalatkan agama Islam untuk kepentingan politik atau peribadi.
Baginda bertitah bahawa Islam seharusnya menjadi teras kepada sistem pentadbiran negara yang berteraskan nilai, keadilan dan kasih sayang, selaras dengan prinsip syariah yang merangkumi seluruh aspek kehidupan.
“Beta ingin mengingatkan pemimpin masyarakat supaya tidak mempolitikkan Islam demi kepentingan diri. Sebaliknya, politik perlu diislamisasikan demi kebaikan negara,” titah baginda.
“Islam merupakan agama yang lengkap dan sempurna yang merangkumi setiap aspek kehidupan. Oleh itu, tiada mana-mana pihak yang harus mempergunakan agama untuk kepentingan politik, menyebarkan fitnah atau menabur kebencian sehingga akhirnya memecahbelahkan masyarakat,” titah baginda lagi.
Baginda bertitah demikian pada Sambutan Maal Hijrah 1447H di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Baginda turut menegaskan bahawa platform dakwah dan pengajaran agama tidak sewajarnya dijadikan medium untuk mempromosikan agenda politik, sebaliknya perlu menjadi ruang bagi memperkukuh perpaduan dan ikatan dalam kalangan ummah.
Dalam hal ini, baginda menyeru semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak menimbulkan permusuhan atas nama kaum atau agama yang boleh menggugat keharmonian negara.
“Perpaduan yang kukuh yang dinikmati oleh negara ini berpaksikan Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai kebersamaan, pengagihan kuasa, tanggungjawab dan muafakat,” titah baginda.
“Marilah kita bersama-sama memelihara kesucian agama Islam dan memperkukuh perpaduan ummah kerana Islam adalah agama persaudaraan dan kedamaian,” titah baginda lagi.
Sultan Ibrahim turut menegaskan bahawa pentadbiran negara mesti dipandu oleh prinsip-prinsip syariah Islam dan tidak terpengaruh dengan ideologi sekular atau liberal yang boleh memesongkan hala tuju negara.








