PUTRAJAYA – Umat Islam tidak seharusnya menjadikan media sosial tempat meluahkan masalah dihadapi pasangan masing-masing, sebaliknya menggunakan saluran sepatutnya untuk mencari jalan penyelesaian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ajaran Islam sendiri mendidik supaya semua umat Islam tidak mengaibkan sesama saudara seagama.
Beliau berkata, perbuatan membuka aib pasangan itu di media sosial, yang kemudian menerima pelbagai reaksi tidak akan menyelesaikan masalah dihadapi.
Katanya, perilaku itu dilihat cenderung kepada individu yang mahu mendapatkan pengikut yang ramai di platform media sosial tanpa memikirkan kesannya.
“Islam mengajar kita kita tutup aib orang kerana jika kita menutup aib saudara kita, Allah akan menutup aib kita pada hari kiamat.
“Yang ini (menceritakan masalah di media sosial) membabitkan saudara, apatah lagi suami atau isteri, yang ada hubungan begitu rapat,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas program Majlis Apresiasi Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini, hari ini.
Mohd Na’im mengulas perkara itu ketika ditanya berkaitan kecenderungan pasangan umat Islam sejak akhir-akhir ini yang menggunakan platform media sosial untuk menceritakan masalah rumah tangga termasuk perkara intim, bagi mendapatkan nasihat netizen.
Justeru, beliau menegaskan, pendekatan dakwah – terutama melalui media sosial – diharap dapat mendidik masyarakat, khususnya dalam kalangan pasangan untuk tidak menggunakan platform media sosial bagi mengaibkan pasangan masing-masing.




