
KOTA KINABALU – “Saya ingin memberikan peringatan keras, jangan sesekali gadai Sabah demi kepentingan peribadi.”
Demikian kata Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dalam kenyataan media pada Selasa.
Katanya, amanah rakyat adalah prinsip tertinggi dalam kerangka demokrasi.
“Namun malangnya, di bawah pentadbiran Gabubungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini, amanah itu dikhianati secara terbuka oleh kerakusan politik.
“Terkini, isu pemberian lesen perlombongan mineral yang dijalankan secara senyap seperti
warisan keluarga bukan sebagai aset negeri yang menjadi milik rakyat.
“Lebih memalukan, pemimpin GRS cuba menipu sejarah dengan mendakwa kemajuan sektor minyak dan gas hanya bermula selepas penubuhan SMJ Energy (SMJE) pada 2021.
“Hakikatnya, projek mega SIOGP bernilai RM54 bilion telah pun dilancarkan pada 2014 di bawah pentadbiran Barisan Nasional,” jelasnya.
Katanya, GRS juga gemar mengumumkan Sabah menerima pelaburan berbillion ringgit, tetapi rakyat berhak tahu berapa banyak yang masuk ke syarikat anak jati Sabah.
“Adakah rakyat benar-benar mendapat manfaat daripadanya atau hanya kroni yang kenyang?” soalnya.
Suahaimi berkata, lebih menyakitkan ketika rakyat mengeluh tentang air, jalan rosak dan elektrik terputus, kerajaan membisu tetapi apabila melibatkan lesen mineral kerajaan tiba-tiba cekap, tergesa-gesa dan senyap.
Tegasnya, Sabah bukan tanah pusaka politikus, Sabah adalah harta rakyat.
“Mengapa tiada pendengaran awam? Mengapa tiada libat urus terbuka? Kenapa pengurusan mineral negeri ini dijalankan secara gelap dan penuh kerahsiaan? Jika tiada yang mahu disorokkan, mengapa bersikap seperti pencuri malam?,” soalnya lagi.
Tambahnya, seorang pemimpin yang benar-benar mencintai negeri ini tidak sanggup menggadaikan tanah dan maruah negeri hanya demi kuasa, jawatan atau kelangsungan sebuah gabungan politik yang longgar dan tidak berprinsip.
Justeru itu, Suhaimi mempersoalkan adakah kegiatan itu yang dimaksudkan dengan “Sabah For Sabahan”.




