
TENOM – Bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin (KJ), menyatakan bahawa kehadirannya ke Sabah dalam siri kempen kali ini bukan kerana mana-mana parti, tetapi kerana keyakinannya terhadap dua calon yang dikenalinya secara peribadi Datuk Yamani Hafez Musa dan Datuk Jamawi Jaafar.
Katanya, hubungan terus Jamawi dengan Perdana Menteri memberi kelebihan besar sekiranya beliau menang di Melalap.
“Kalau dia menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Insya-Allah apa sahaja keperluan rakyat sama ada pembangunan, kebajikan, kesihatan dan perumahan.
“Dia sudah ada hubungan langsung dengan Perdana Menteri. Itu sesuatu yang besar,” katanya kepada media selepas Program Belia Melalap bersama KJ di Padang Pekan Tenom, pada Rabu.

KJ berkata, kehadirannya adalah tanda sokongan penuh dalam baki tiga hari terakhir kempen sempena Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah kali ini.
“Saya nak beritahu kepada pengundi, saya kenal dia. Saya tahu siapa Jamawi Jaafar. Dia orang yang rajin, orang yang ikhlas. Jangan tengok parti.
“Kalau nak cerita parti, ramai saja pernah tukar parti di Sabah. Kita tengok pemimpin. Jamawi sudah ada dalam radar Perdana Menteri,” katanya.
Tegasnya, beliau hanya memilih untuk turun membantu calon yang benar-benar beliau kenal dan yakini ciri kepimpinannya.
“Saya datang sebab calon saya bukan ahli parti mana-mana. Mana-mana parti pun, saya datang sebab calon. Bila saya bercakap kepada pengundi, maknanya saya tahu ciri-ciri kepimpinannya, bukan orang yang saya tak kenal,” katanya.
KJ turut mendedahkan bahawa Jamawi pernah menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, manakala Yamani Hafez pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah ketika beliau memimpin pergerakan itu.
“Saya tahu dia rajin, saya tahu dia boleh buat kerja. Saya tahu dia datang daripada keluarga yang susah kemudian berjuang menjadi pemimpin sampai ke peringkat nasional. Dia tidak lupa asal-usul,” ujarnya.
Dalam pada itu, KJ turut menyeru pengundi agar memilih berdasarkan masa depan Sabah, bukan emosi.
“Kalau kita undi ikut gelombang kemarahan, ia tidak akan selesaikan masalah. Sabah mesti selaras dengan aspirasi di peringkat pusat.
“Bukan bermakna Sabah tunduk, tetapi must work together,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut menekankan penyelarasan Kerajaan Negeri dan Persekutuan penting bagi pelaksanaan perkara-perkara Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembayaran khas dan rundingan hak di bawah Perlembagaan.
“Lebih baik ada kerajaan sini yang sehaluan dengan kerajaan pusat. Ini bukan masa untuk berbalah,” katanya.
Menolak naratif yang cuba dimainkan pihak tertentu, KJ menjelaskan bahawa Jamawi adalah anak jati Sabah.
“Tak timbul soal ‘Sabah for Sabahan’ tolak Harapan atau tolak Jamawi. Dia orang Sabah. Dia lahir di sini, orang sini,” ujarnya.








