
JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) sedang melaksanakan pemantauan berterusan terhadap sebarang aktiviti membabitkan ahli Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH).
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, aktiviti ahli terbabit dipantau rapat berikutan wujudnya kaitan antara mereka dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’.
“Istitabah yang diuruskan oleh JAIS pada 8 November 2013 tidak pernah membatalkan fatwa tentang kepercayaan dan amalan yang membabitkan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’.
“Berhubung dengan isu GISBH yang sedang tular, JAIS sudah meneliti 19 video yang dimuat naik di media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS).
“Penelitian dibuat bagi mengukuhkan lagi hasil siasatan sedia ada dan mendapatkan keterangan daripada individu atau pihak lain bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Shahzihan berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung barang rampasan daripada serbuan ke atas 18 premis, semalam.
“JAIS sudah berbincang dengan PDRM supaya barang rampasan yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli-ahli GISBH diserahkan kepada JAIS untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7, 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya.
Beliau berkata, dua daripada premis diserbu adalah sekolah rendah Islam yang berdaftar dengan JAIS dengan salah satunya didaftarkan pada Januari 2015 dan akan tamat pendaftaran, 31 Disember 2025.
“Sekolah berkenaan mempunyai 12 guru dan kakitangan serta 104 pelajar lelaki dan perempuan yang menggunakan silibus JAIS.
“Sepanjang pemantauan dibuat di sekolah itu pada 13 Januari 2023, 23 Mac 2023 dan 26 Julai lalu, tidak wujud sebarang penyelewengan yang dikesan.
“Sebuah lagi sekolah didaftarkan pada 12 November 2014 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Disember tahun ini.
“Maahad ini mempunyai tiga kakitangan dan 54 pelajar lelaki dengan menggunakan kurikulum tahfiz sendiri,” katanya.
Menurutnya, sebanyak lapan sekolah yang disyaki di bawah GISBH berdaftar dengan JAIS.
“Dua daripadanya sudah menutup operasi secara sukarela manakala dua lagi tamat pendaftaran dan satu sekolah ditarik pendaftaran manakala baki masih beroperasi sehingga 2028.
“Berikutan tindakan dan penemuan PDRM yang membabitkan sekolah berdaftar di bawah enakmen yang berkuatkuasa, JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sekolah terbabit mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988,” katanya.