KUANTAN – Sebanyak lapan tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci yang rosak akibat banjir besar tiga tahun lalu dilupuskan dengan cara menanam dalam tanah.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Noridzuan Abdul Manan, berkata al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci yang rosak itu diterima dari beberapa kampung dan taman perumahan di Bentong, Temerloh dan Maran.
Beliau berkata, sebelum ini pihaknya melakukan kerja melupus dengan cara membakar menggunakan insinerator atau relau dengan sumber api daripada gas di Kompleks Pemuliaan al-Quran Pahang, Chenor, Maran.
“Kebanyakan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci basah selepas ditenggelami banjir untuk dilupuskan, jadi ia perlu dikeringkan terlebih dahulu dengan cara menjemur beberapa hari.
“Bagi mengelak berlaku lambakan, kita mengambil keputusan untuk melupuskan dengan cara menanam dalam tanah, kaedah ini adalah kali pertama dilakukan bagi melihat hasilnya,” katanya dihubungi Berita Harian.
Beliau berkata, hampir setiap tahun pihaknya terpaksa menguruskan kerja melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci yang rosak selepas ditenggelami banjir.
Dua kompleks pemuliaan al-Quran Pahang di Chenor dan Peramu, Pekan setiap minggu melakukan kerja melupus dengan cara membakar.
Katanya, pelupusan dalam tanah bukan sahaja mudah dan cepat, tetapi menjimatkan kos.





