
KOTA KINABALU – Penting untuk calon atau parti yang bertanding menjaga sentimen ataupun ‘perasaan’ pengundi terutamanya di Sabah.
“Perlu dilihat politik di Sabah ini adalah politik mengikut kaum ini membawa sentimen. Sentimen adalah perasaan, perasaan pengundi ini penting untuk dijaga.
“Dalam berkempen kita harus berhati-hati, jangan salah fakta bila bercakap maka perlu ada banyak ilmu politik.
“Mana-mana parti yang mahu menang di Sabah harus mantapkan gerakan kerana undian itu boleh berubah-ubah mengikut sentimen, jika kena dengan caranya maka yang tidak disangka akan peroleh kemenangan,” demikian kata Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Suwadi Guliling sempena Program Diwan Informasi (D1) Edisi Sabah Pra PRN17 (Tahap 1).
Sehubungan itu, beliau juga mengingatkan kepada para peserta kursus agar tidak memandang enteng akan kuasa pengundi muda terutamanya golongan yang berumur 18 hingga 30 tahun.
Tambahnya, undi muda adalah sangat penting dan harus diingat sekarang ini undi 18 tahun adalah secara automatik layak tidak perlu lagi mendaftar untuk mengundi ini harus diperhatikan.
“Pertambahan pengundi baharu dalam setiap Parlimen meningkat dengan jumlah yang besar setiap tahun maknanya inilah pengundi-pengundi yang bahaya.
“Jika anda teruskan fokus berkempen mengikut cara lama, cara-cara dahulu belum tentu boleh menang maka harus ada perancangan dari awal.
“Bagaimana kita boleh hubungi pengundi-pengundi muda ini? Jika kita jemput ke majlis mereka belum tentu mahu datang kerana itu kita mesti pandai menggunakan media sosial seperti TikTok,” ujarnya.
Jelasnya, terdapat banyak pembangunan kandungan yang boleh dibuat dari media sosial yang boleh bantu parti untuk menjawab isu-isu berbangkit dengan segera.
Beliau berkata, elak biarkan isu berlarutan tersebar melebihi 24 jam kerana jika lebih isu akan masuk ke dalam kepada masyarakat dan menjadi sukar untuk diubah.






