PUTRAJAYA – “Maaf YB (Yang Berhormat), itu batik Malaysia buatan Tunjung, Kelantan,”
Demikian tegas Pengasas Bujins Batik, Amir Harith, sekali gus menolak dakwaan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang ‘memfitnah’ baju batik dipakai Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) semalam berasal dari Indonesia.
Anak muda berusia 35 tahun itu berkata, Perdana Menteri beberapa kali menggayakan batik dilukis serta dihasilkan butiknya dalam program rasmi kerajaan.
“Batik dikenakan Perdana Menteri dianggarkan bernilai RM900 hingga RM1,800.
“Bujins Batik ditubuhkan pada 2009 dan beroperasi di Tunjung. Saya aktif melukis batik sejak berusia 19 tahun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu Ahmad Amzad memuat naik satu hantaran di Facebook mempersoalkan tindakan Anwar memilih batik yang didakwa mempunyai motif dari negara jiran.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu meminta Anwar supaya berhati-hati memilih pakaian bersesuaian semasa peristiwa penting.
Bagaimanapun Ahmad Amzad memadamkan hantaran itu selepas Bujins Batik menafikan perkara tersebut menerusi hantaran di laman sosial rasmi miliknya.








