
KINABATANGAN – Isu pengurusan sampah di Sukau, Kinabatangan perlu ditangani segera kerana berpotensi menjejaskan status kawasan itu, sebagai Rizab Biosfera UNESCO serta keyakinan pelancong, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Katanya, masalah lambakan sisa pepejal di kawasan pelancongan bukan sahaja mencemarkan imej destinasi eko-pelancongan, malah memberi kesan langsung terhadap habitat hidupan liar, kualiti sungai dan pengalaman pelancong.
“Saya mahu Sukau, Kinabatangan muncul sebagai antara pilihan utama pelancong dalam dan luar negara, khususnya sempena kempen Tahun Melawat Malaysia, sekali gus meletakkan Sabah sebagai destinasi eko-pelancongan bertaraf dunia.
“Sukau kini diiktiraf sebagai Rizab Biosfera UNESCO hasil proses pencalonan selama dua tahun dari 2022 hingga 2024.
“Pengiktirafan ini merupakan satu amanah besar yang menuntut komitmen semua pihak, khususnya dalam aspek kebersihan dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Ahad.
Menurutnya, antara cadangan yang dibincangkan ialah pembinaan rumah sampah sebagai langkah awal ke arah sistem pengurusan sisa yang lebih sistematik dan efisien selaras dengan kedudukan Sukau sebagai destinasi eko-pelancongan bertaraf antarabangsa.
Beliau menyatakan kementeriannya akan meneliti cadangan tersebut bersama pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan dan komuniti setempat bagi memastikan penyelesaian yang praktikal dan mampan dapat dilaksanakan.
“Penyelesaian sebenar perlu berpaksikan keadaan di lapangan dan melibatkan pemain industri serta penduduk setempat bagi memastikan Sukau terus berkembang sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi yang berkualiti, bersih dan terurus,” ujarnya.







