TAMPIN – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau akan berjumpa Perdana Menteri dalam waktu terdekat bagi menyampaikan suara ketua bahagian UMNO berhubung Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menggunakan budi bicaranya untuk memastikan hasrat tersebut dipenuhi tanpa menyentuh hal berkaitan perundangan.
“Saya sendiri akan menyampaikan hasrat ketua bahagian UMNO kepada Perdana Menteri dan mudah-mudahan beliau dapat menggunakan budi bicaranya bagi mengusahakan agar hasrat tersebut dapat dipenuhi melalui tata kelola dan tata cara perundangan sedia ada, dan akan disegerakan.
“Jadi, saya akan secepat mungkin berjumpa Perdana Menteri, mungkin dalam tempoh sehari dua ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin, hari ini.
Hadir pada mesyuarat itu Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, lapor Sinar Harian.
Mengulas mengenai perjumpaan ketua UMNO bahagian di ibu negara minggu lalu, Ahmad Zahid menjelaskan perkara itu diadakan atas inisiatif kumpulan pemimpin berkenaan.
Beliau percaya desakan yang disuarakan ketua bahagian – yang diwakili Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah – bukanlah bertujuan mencampuri kuasa Yang di-Pertuan Agong atau tugas Perdana Menteri.







