DUNGUN – Sumber berkualiti yang dimiliki Terengganu perlu digembleng secara menyeluruh bagi membawa perubahan dan pertumbuhan ekonomi yang berimpak tinggi demi manfaat rakyat negeri ini.
Pengerusi Ketengah Niaga & Tours, Bazlan Abdul Rahman berkata, negeri itu mempunyai rekod pencapaian akademik yang cemerlang dan melahirkan ramai modal insan berkualiti, yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasa ekonomi negeri.
“Dengan kesepaduan eksplorasi sumber manusia, kekayaan hasil bumi dan kekuatan kepakaran tempatan, Terengganu mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Bengkel Kajian Polisi Ekonomi Baharu Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Bengkel berkenaan menghimpunkan wakil badan bukan kerajaan (NGO), badan pemikir dan akademik dari universiti tempatan bagi merangka model ekonomi baharu dan strategi pembangunan mampan khusus untuk Terengganu.
Sementara itu, Pengarah Zon Timur Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Ali Muda berkata, bengkel ini menjadi platform penting bagi membincangkan pendekatan tuntas menangani kemelut prestasi ekonomi Terengganu yang dilihat ketinggalan berbanding negeri lain dan purata nasional.

“Saya ucapkan tahniah kepada penganjur yang berjaya mengumpulkan kepakaran pelbagai latar belakang termasuk usahawan, mantan pentadbir kerajaan negeri, pensyarah universiti serta aktivis sosial bagi menjayakan bengkel ini,” katanya yang hadir sebagai tetamu jemputan.
Bengkel anjuran Nusantara Academy of Strategic Research (NASR) itu turut mendapat kerjasama Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu (Intelek Terengganu), Pertubuhan Muafakat Terengganu Baru (Muafakat), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang, Kampus Raub, sebagai rakan strategik.








