
BELAGA – Simposium Antarabangsa iRandau 2025 yang berlangsung di Kampung Lebu’ Kulit, Sungai Asap, Belaga sejak 1 Oktober lalu berjaya menghimpunkan lebih 250 peserta dari dalam dan luar negara.
Bertemakan “Bridging Gaps, Fostering Sustainability”, simposium anjuran Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) itu menampilkan pelbagai wacana merentas bidang sains sosial, ekonomi, pengurusan, teknologi, serta turut mengangkat tradisi, warisan Orang Ulu, pemerkasaan digital belia luar bandar dan jalinan kerjasama antara akademia serta komuniti.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata, tradisi Randau bukan sekadar dikekalkan di rumah panjang, malah kini berjaya diangkat ke peringkat antarabangsa sebagai identiti budaya dan tarikan pelancongan Sarawak.
“iRandau bukan sahaja mengekalkan keaslian tradisi, tetapi menjadikannya jambatan yang menghubungkan akar budaya dengan pembangunan moden. Ia kini muncul sebagai tarikan pelancongan global,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penutupan iRandau 2025 pada Jumaat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang menegaskan, Kerajaan Negeri komited merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar Sarawak melalui pembangunan infrastruktur dan pelaburan masa depan rakyat.
“iRandau 2025 membuktikan bahawa masyarakat luar bandar juga berpotensi besar dalam bidang keusahawanan digital, penciptaan kandungan serta kepimpinan komuniti,” ujarnya.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lih; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon; Pengarah UPM Sarawak, Prof Dr Shahrul Razid Sarbini; Pengarah Pusat Belia Antarabangsa, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee serta Ketua Kampung Lebu’ Kulit, Bujang Bit.
Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB), Pusat Belia Antarabangsa, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jabatan Penerangan Malaysia serta Business Events Sarawak.
Sejak diperkenalkan pada 2019, iRandau berkembang pesat sebagai platform ilmu yang mengukuhkan peranan universiti bukan sahaja sebagai pusat penyelidikan, malah sebagai rujukan komuniti di Borneo.






