
KOTA KINABALU – Pelaksanaan Latihan Industri (LI) wajar diperkasakan melalui sokongan dasar kerajaan, termasuk pengenalan insentif fiskal kepada majikan, bagi memastikan graduan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) memperoleh pengalaman kerja yang berkualiti dan selari dengan keperluan industri semasa.
Menurut Profesor Madya Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Jakaria Dasan, pendekatan tersebut penting bagi menangani cabaran kekurangan penempatan LI, tekanan kos sara hidup pelajar serta keperluan menyeimbangkan kemahiran teknologi dengan kematangan profesional dalam era kecerdasan buatan (AI).
Katanya, sudah tiba masanya pelaksanaan LI diangkat sebagai agenda strategik negara yang menuntut intervensi kerajaan dan bukan sekadar diletakkan di bahu universiti semata-mata.
“Hal ini kerana graduan merupakan aset tenaga kerja masa depan di mana LI mampu bertindak sebagai jambatan kritikal untuk graduan memasuki alam pekerjaan dengan lebih lancar dan secara langsung memacu produktiviti ekonomi negara.
“Satu pendekatan proaktif yang wajar diteroka adalah pengenalan insentif fiskal. Kerajaan disarankan mempertingkatkan lagi fleksibiliti potongan atau pengecualian cukai kepada majikan yang menyediakan peluang LI,” katanya dalam satu sesi Town Hall anjuran UMS baru-baru ini.
Tambahnya, di peringkat universiti, naratif perlu beralih daripada sekadar mengejar angka kebolehpasaran graduan (graduate employability) kepada memperkukuh kebolehsuaian graduan (graduate adaptability).
“Kurikulum harus membina kompetensi berdikari, pemikiran kritis dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik.
“Namun, usaha ini akan lebih ‘menjadi’ apabila ekosistem LI di pihak majikan turut diperkasa melalui suntikan fiskal yang lebih fleksibel dan mudah diakses,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Jakaria turut menyatakan bahawa walaupun Generasi Z sering dikaitkan dengan kemahiran digital yang tinggi, pengalaman sebenar di tempat kerja tetap tidak boleh diganti oleh pembelajaran dalam talian.
“LI adalah medan untuk pelajar memahami budaya kerja, etika profesional dan menguji keserasian karakter mereka dengan kerjaya pilihan.
“Namun, realitinya ramai pelajar menghadapi kesukaran mendapatkan tempat LI yang sesuai akibat keterbatasan peluang. Cabaran kos sara hidup yang meningkat, terutamanya bagi penempatan yang jauh serta ketiadaan elaun daripada organisasi terlibat memberikan tekanan kewangan yang hebat kepada pelajar,” ujarnya.



