
Oleh: Tengku Majid, Mohammad Fikri, Jasmine AE & Evie B.
KUCHING – Inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus mendapat maklum balas positif daripada rakyat, khususnya golongan pesara dan suri rumah yang menyifatkan bantuan tersebut sebagai penyelamat dalam mendepani kos sara hidup yang kian mencabar.
Bantuan tunai yang dikreditkan terus ke dalam MyKad itu membolehkan penerima yang layak membeli lebih 140,000 barangan asas merangkumi 15 kategori di lebih 10,000 premis terpilih di seluruh negara.
‘Tidak Perlu Bergantung Pada Anak’

Bagi seorang pesara, Lamit Gerai, 82, bantuan tersebut memberi sinar kelegaan buat dirinya yang kini tidak lagi mempunyai pendapatan tetap.
“Syukur ke hadrat Ilahi atas rezeki ini. Sebagai pesara, setiap bantuan yang diterima amat besar nilainya untuk saya meneruskan kehidupan dengan lebih tenang.
“Kos sara hidup yang meningkat memberi kesan ketara kepada golongan seperti saya, terutama untuk keperluan dapur dan ubat-ubatan. Dengan adanya SARA, saya tidak perlu terlalu bergantung kepada anak-anak untuk menampung keperluan asas,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau turut memuji langkah kerajaan menambah baik kategori barangan yang boleh dibeli, sekali gus memberi fleksibiliti kepada warga emas untuk membuat pilihan mengikut keperluan masing-masing.
Bukti Kerajaan Faham ‘Denyutan Nadi’ Rakyat

Nada yang sama turut dikongsi seorang suri rumah, Sopina Romena Bali, 33, yang menganggap peluasan kategori barangan termasuk barangan sejuk beku sebagai satu transformasi yang sangat bermakna.
Menurutnya, inisiatif yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membuktikan keprihatinan tinggi Kerajaan MADANI terhadap golongan suri rumah sepenuh masa.
“Terima kasih PMX kerana memperluaskan pilihan barangan daripada sekadar barangan kering kepada barangan sejuk beku. Ini sangat membantu kami dalam menyediakan hidangan buat keluarga.
“Inisiatif ini jelas membuktikan kerajaan sangat memahami denyutan nadi rakyat, terutama mereka yang memerlukan sokongan kewangan dalam memenuhi keperluan dapur,” ujarnya.
Perluas Kepada Barangan Mentah, Tingkatkan Kadar Bantuan
Selain itu, suara dari kawasan pedalaman turut senada menghargai usaha kerajaan yang dilihat sangat membantu komuniti luar bandar.

Bagi Tuai Rumah, Suma Lancang, 60, inisiatif SARA merupakan satu suntikan semangat buat penduduk yang terkesan dengan kenaikan harga barang.
“Bantuan ini amat bermakna dalam meringankan beban golongan memerlukan, khususnya di luar bandar. Saya berharap bantuan ini diteruskan pada masa hadapan.
“Jika boleh, saya ingin mencadangkan agar kadar bantuan ditingkatkan daripada RM100 kepada RM150 bagi membantu rakyat menangani kenaikan harga barangan yang semakin mencabar ketika ini,” jelasnya.
Lebih Pilihan Untuk B40

Sementara itu, Zuliza, 40, yang merupakan seorang suri rumah, menyifatkan penambahbaikan sistem SARA yang kini membenarkan pembelian makanan sejuk beku sebagai satu langkah progresif.
Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan skop pembelian yang lebih luas pada masa akan datang demi kelangsungan hidup golongan B40.
“Terima kasih Kerajaan MADANI atas bantuan ini. Untuk masa depan, saya berharap bantuan ini dapat diperluaskan lagi untuk pembelian makanan mentah seperti ayam dan ikan.
“Ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada penerima untuk menyediakan makanan yang lebih berkhasiat buat keluarga di rumah,” katanya lagi.
Meringankan Beban Keluarga

“Rasa syukur dan sangat terharu.” Itu reaksi spontan seorang suri rumah, Lucy, 37, saat diminta mengulas mengenai impak bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terhadap kelangsungan hidup keluarganya.
Bagi Lucy, bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan MADANI itu bukan sekadar angka di dalam MyKad, tetapi merupakan ‘talian hayat’ yang memastikan dapur rumahnya terus berasap.
Ibu kepada isi rumah ini mengakui, sebelum ini beliau sering dibayangi kegusaran mengenai kos perbelanjaan asas yang perlu ditanggung setiap bulan, namun kehadiran SARA memberi nafas lega.
“Bantuan ini benar-benar meringankan beban kami. Sekurang-kurangnya kami tidak lagi terlalu risau tentang bekalan makanan dan perbelanjaan asas setiap bulan.
“Ia memberikan satu kelegaan buat kami sekeluarga dalam menguruskan keperluan harian dengan lebih teratur,” katanya.
Hargai Keprihatinan PMX
Menetap di kawasan luar bandar, Lucy turut menzahirkan penghargaan buat Perdana Menteri yang dilihat sentiasa cakna dengan kesempitan hidup rakyat di pedalaman.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan MADANI dan Perdana Menteri kerana sangat prihatin terhadap nasib rakyat seperti kami di luar bandar.
“Bantuan ini sangat banyak membantu kami sekeluarga dan kami harap usaha murni seperti ini dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat kecil,” ujarnya lagi








