
BELURU – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Bakong mencatat pencapaian membanggakan apabila diumumkan sebagai antara penerima Anugerah JKKK Proaktif Top 10 Tahun 2025 sempena Program Taklimat Pengurusan KMKK dan JKKK Daerah Beluru serta Daerah Kecil Tinjar yang berlangsung di Dewan Masyarakat Beluru, pada Selasa.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan jawatankuasa dalam memperkukuh pentadbiran kampung serta melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat sepanjang tahun 2025.
Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Datuk Penguang Manggil merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi semasa majlis penutupan program tersebut.
Setiausaha JKKK Kampung Melayu Bakong, Ayesha Jesscynthia berkata, pencapaian itu adalah hasil penilaian berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

“Antara aspek yang dinilai termasuk penglibatan aktif dalam aktiviti kampung, pelaksanaan program tahunan yang konsisten, pengurusan laporan yang teratur serta penganjuran program kemasyarakatan yang memberi impak kepada komuniti,” katanya semasa ditemui wartawan TMP.
Tambah beliau, antara inisiatif yang menyumbang kepada kejayaan tersebut ialah penganjuran sukan rakyat bersama Biro Wanita, program ramah mesra bersama penduduk serta aktiviti gotong-royong yang dijalankan secara konsisten bagi memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan warga kampung.
Menurut beliau, kejayaan itu bukan sahaja mencerminkan keaktifan jawatankuasa, malah menunjukkan tahap kerjasama yang tinggi dalam kalangan penduduk.
“Anugerah ini adalah hasil usaha bersama seluruh warga Kampung Melayu Bakong. Diharapkan pencapaian ini menjadi pemangkin semangat untuk kami terus memperkasakan peranan JKKK dalam aspek pembangunan sosial dan kesejahteraan komuniti,” ujarnya.
Program taklimat pengurusan tersebut diadakan bagi memperkukuh pemahaman KMKK dan JKKK mengenai peranan, tadbir urus serta hala tuju pentadbiran kampung agar lebih sistematik dan berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.






