
MALAYSIA kini muncul sebagai destinasi utama pelabur asing hasil keupayaan negara membangunkan industri air dan tenaga yang moden, cekap serta berdaya saing, sekali gus memenuhi keperluan pelaburan berintensifkan teknologi tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan asas seperti air dan tenaga merupakan antara faktor utama yang sering dititikberatkan oleh pelabur asing sebelum membuat keputusan untuk melabur di sesebuah negara.
“Kita tak dapat pertahankan kredibiliti kita sebagai negara aman, cekal kalau hal asas air dan tenaga tak dapat diselesaikan. Di antara sebab Malaysia jadi tarikan pelabur, dengan (pelaburan membangun) pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baru termasuk semikonduktor ini ialah kemudahan air dan tenaga.
“Ini kemudahan sangat strategik kerana ia yang menyebabkan kalau mereka (mahu melabur, yang ditanya ialah) air dan tenaga. Bagi kita, soal air dan tenaga bukan saja dapat disediakan, tapi dikawal dengan harganya yang munasabah,” katanya pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; dan Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad, Datuk Seri Ir. Jaseni Maidinsa.
Menurut Anwar, Malaysia bukan sahaja berjaya menyediakan kemudahan air dan tenaga, malah mampu menawarkannya dengan kos yang berpatutan, sekali gus meningkatkan daya saing negara dalam menarik pelaburan asing.
Namun begitu, beliau mengakui bahawa industri air negara masih berdepan beberapa cabaran termasuk pembaziran penggunaan dan kadar Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water, NRW) yang masih tinggi.
“Masih lagi kita hadapi cabaran keperluan air di negara kita yang terkait dengan pembaziran, cara penggunaannya dan kelemahan kerana sistem saluran lama menyebabkan pembaziran NRW hingga jadi masalah besar,” katanya.
Mengulas mengenai LRA Langat 2, Perdana Menteri menyifatkan projek itu sebagai pencapaian membanggakan kerana ia dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat dan tenaga kerja tempatan.
“LRA Langat 2 merupakan projek berskala besar yang menggunakan teknologi canggih dan dikendalikan oleh anak Malaysia sendiri. Ini membuktikan kecekapan, tanggungjawab dan keterampilan profesional tempatan yang mampu menguruskan projek mega seperti ini,” ujarnya.
LRA Langat 2 dibina bagi memenuhi permintaan bekalan air terawat yang semakin meningkat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selaras dengan pertambahan penduduk serta pembangunan pesat di kawasan tersebut.
Loji ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 1,130 juta liter sehari (JLH), yang melibatkan penyaluran air mentah dari Empangan Kelau melalui Muka Sauk Sungai Semantan di Pahang ke LRA Langat 2 di Hulu Langat, Selangor.
Pemindahan air mentah ini dilakukan melalui sebuah terowong sepanjang 44.6 kilometer dengan diameter 5.2 meter, yang merentasi Banjaran Titiwangsa.
Air terawat kemudian disalurkan melalui jajaran paip ke dua koridor utama, iaitu Koridor Utara hingga ke kawasan Ampang dan AU3 Keramat, serta Koridor Barat yang merangkumi Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara dan Bukit Dengkil.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan infrastruktur air negara, malah turut memperkukuh keupayaan negara dalam menarik pelaburan berskala besar dan berasaskan teknologi.
“Projek LRA Langat 2 boleh kita letak sebagai satu projek besar berteknologi canggih yang dikendalikan anak Malaysia sendiri. Projek ini memerlukan bukan saja keterampilan tapi pengurusan yang cekap dan bertanggungjawab.
“Tidak mungkin projek ini dapat dijayakan melainkan ada golongan profesional yang terlatih dan kita sudah buktikan ini permulaan yang sangat membanggakan.
“Saya hadir hari ini untuk memberi sokongan dan penghargaan kerana kita tahu ini projek raksasa yang menuntut usaha kerja bersungguh-sungguh dan teknologi canggih,” katanya.






