JAKARTA – Ketua Pusat Penerangan Tentera Nasional Indonesia (TNI) (Kapuspen), Mejar Jeneral Hariyanto, ketika dihubungi di Jakarta, Khamis, mengesahkan tentera TNI yang berkhidmat dengan Pasukan Keamanan PBB di Lubnan (Unifil) terkena tembakan tentera Israel (IDF), lapor Antara News.
Jelasnya, anggota tentera yang terkena tembakan itu mengalami kecederaan ringan di kaki dan berada dalam keadaan normal.
Kedua-dua anggota telah menerima rawatan di kemudahan perubatan berhampiran dan kini dalam keadaan stabil.
Menteri Luar Indonesia mengesahkan bahawa kecederaan yang mereka alami berpunca daripada peluru yang dilepaskan dari kereta kebal Merkava milik tentera Israel.
Susulan serangan itu, Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap pasukan pengaman PBB di Lubnan, Unifil, yang mencederakan anggota TNI dan menyifatkan serangan itu sebagai pencabulan serius terhadap Resolusi Majlis Keselamatan PBB.
“Kerajaan Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya serangan IDF di Lubnan Selatan yang mencederakan dua anggota pasukan pengaman PBB Indonesia,” kata Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi, menurut kenyataan ringkas yang disampaikan oleh jurucakap Kementerian Luar Indonesia Rolliansyah Soemirat pada petang Khamis.
“Indonesia menekankan bahawa sebarang serangan terhadap pasukan pengaman adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi UNSC 1701 sebagai asas mandat Unifil,” kata Retno.
Kementerian Luar Negeri mengesahkan dua anggota tentera TNI yang menganggotai Unifil mengalami kecederaan ringan ketika menjalankan tugas pemantauan di menara pemantauan di ibu pejabat kontinjen Indonesia di Naqoura, selatan Lubnan.
Katanya, Pangkalan tentera Unifil yang diserang Israel berada dalam kawasan “Blue Line” iaitu garisan persempadanan antara Lubnan dan Israel.









