PUTRAJAYA – Polis sudah melaksanakan siasatan berhubung dakwaan wujudnya komplot menjatuhkan kerajaan dan mensabotaj kestabilan negara yang dipercayai membabitkan seorang tokoh tempatan berpengaruh serta sebuah agensi media antarabangsa.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan terbabit dibuat susulan satu laporan polis telah diterima pihaknya, pada Khamis.
Menurut beliau, siasatan itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Saya mengesahkan menerima laporan polis semalam dan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan dengan agensi media antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun. Siasatan masih diteruskan. Masyarakat dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes sementara polis melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya.



