
LIMBANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Cawangan Limbang melaksanakan Ops Gempur Kenderaan Perdagangan menerusi rondaan dan pemantauan bersepadu di sekitar daerah ini pada Khamis.
Ketua Cawangan JPJ Limbang, Abang Aien Abang Bolhil berkata, operasi yang digerakkan oleh Unit Operasi JPJ cawangan itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang serta syarat permit dalam kalangan pengendali kenderaan perdagangan.
Menurutnya, sebanyak 69 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa di sepanjang operasi tersebut dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kenderaan perdagangan yang melanggar syarat permit ditetapkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP),” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau, notis ketidakakuran telah dikeluarkan terhadap pihak terlibat untuk tindakan lanjut, sekali gus membuktikan bahawa pihak JPJ memandang serius sebarang bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya, khususnya yang membabitkan kenderaan perdagangan.
“JPJ Limbang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi syarat permit dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Operasi seperti ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan sentiasa berada pada tahap terbaik,” ujarnya.
Tambah Abang Aien, penguatkuasaan berterusan adalah amat penting bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya, selain memastikan industri pengangkutan perdagangan beroperasi mengikut lunas undang-undang.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengendali kenderaan perdagangan dinasihatkan supaya sentiasa memastikan dokumen serta permit mereka berada dalam keadaan sah dan mematuhi segala peraturan yang berkuat kuasa.




