KOTA KINABALU – Seramai 39 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah dalam operasi gempur bersasar di kilang sekitar Papar dan
Kota Kinabalu pada Rabu.
Pengarahnya, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua ditahan melibatkan lelaki dewasa warganegara Indonesia dan Filipina.
Manakala tiga warganegara Malaysia turut diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi telah bergerak ke lokasi kilang sekitar Papar dan Kota Kinabalu dan seramai 353 orang telah diperiksa dalam operasi ini.
“Daripada jumlah yang diperiksa, seramai 39 orang PATI telah ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan Imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Jelasnya, kesemua individu ditahan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Mereka dipercayai telah melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas yang dikeluarkan serta Seksyen 6(1)(c) tiada dokumen pengenalan diri dan Seksyen 15(1)(c) di bawah Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Justeru itu, Imigresen Sabah menyeru orang ramai agar tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang aktiviti penggajian atau perlindungan kepada PATI.
Tambahnya, setakat ini Imigresen Sabah telah memeriksa seramai 12,505 individu dengan 2,274 tangkapan dan 5,926 orang PATI dipindahkan ke negara asal masing-masing.





