KEMASIK – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik terus memperkukuh budaya keselamatan dalam kalangan warganya menerusi penganjuran Minggu Keselamatan IKBN Kemasik 2025 yang berlangsung pada 29 dan 30 Oktober lalu.
Program anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Pelajar itu bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan menyeluruh, merangkumi aspek keselamatan diri, pencegahan buli, gangguan seksual, pengurusan risiko tempat kerja, kesejahteraan mental serta kemahiran menghadapi kecemasan dan kebakaran.
Ketua JKKP, Rahmat Elli berkata, penganjuran program seperti itu penting bagi memastikan semua warga IKBN memahami tanggungjawab bersama dalam mewujudkan persekitaran kampus yang selamat dan sihat.
“Kami amat menitikberatkan aspek keselamatan dalam semua urusan. Kesedaran tinggi terhadap keselamatan bukan sahaja menjamin kesejahteraan individu, malah memperkukuh reputasi IKBN sebagai institusi latihan teknikal yang berdisiplin dan profesional,” katanya.
Program dua hari itu turut mendapat kerjasama erat daripada Balai Polis Daerah Kemaman, Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh serta Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman yang menyumbang kepakaran melalui sesi ceramah dan latihan praktikal berkaitan pengurusan keselamatan serta kesihatan awam.
Dengan gabungan pendekatan teori dan amali, Minggu Keselamatan IKBN Kemasik 2025 diharap dapat menyemai budaya cakna keselamatan dalam kalangan pelajar dan kakitangan, seterusnya melahirkan komuniti kampus yang produktif, bertanggungjawab dan peka terhadap kesejahteraan bersama, sejajar dengan tema program “Selamat Itu Hebat!”





