KANGAR – Program Memacu Usahawan dan Kontraktor Wanita ke Peringkat Lebih Tinggi mencatat sambutan luar jangka apabila hampir 90 peserta wanita hadir berbanding sasaran asal hanya 40 orang.
Tokoh Perantis bidang ekonomi negeri Perlis, Norhayati Hashim berkata, sambutan itu menunjukkan kesungguhan golongan wanita untuk menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran dalam bidang pembinaan.
“Pada mulanya saya menjangkakan sekitar 40 peserta sahaja akan hadir menyertai program ini.
“Namun ketika pendaftaran dibuka, hampir 90 wanita tampil dan bersemangat untuk mengambil bahagian,” katanya di sini hari ini.

Menurut Norhayati, program tersebut julung kali diadakan dengan penglibatan pelbagai agensi berkaitan industri pembinaan.
“Buat pertama kalinya, kita menjemput agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan lain-lain bagi memudahkan peserta mendapatkan maklumat serta urusan berkaitan,” ujarnya.
Katanya lagi, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Perantisan Kepimpinan Wanita (Perantis) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dalam pada itu, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri, P. Kalai Kumar berkata, empat tokoh wanita terpilih tahun ini akan membimbing peserta melalui program berkenaan bagi melahirkan pemimpin wanita masa depan.





