
LAHAD DATU – Polis menahan seorang wanita dipercayai membuang bayinya di hadapan sebuah rumah di Kampung Burung, Jalan Bakawali, di sini, Jumaat lepas.
Ibu Pejabat Polis (IPD) Lahad Datu dalam perkongsian di Facebook memaklumkan, wanita berumur 30 tahun berkenaan ditahan di perkarangan IPD Lahad Datu, pada Ahad.
Difahamkan, suspek mengaku melahirkan bayi berkenaan di rumahnya sebelum meletakkannya di luar rumah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 7 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pada Jumaat, media melaporkan seorang bayi lelaki ditemukan berbalut kain sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, bayi berkenaan meninggal dunia pada hari yang sama kira-kira pukul 7.02 malam akibat dilahirkan pra matang dan mempunyai berat badan terlalu rendah.





