KOTA KINABALU – Hubungan antara Malaysia dan China merupakan peluang besar kepada golongan belia negeri Sabah, khususnya dalam bidang keusahawan dan pendidikan teknikal.
Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Mohd Nur Hilmie Milus berkata, lawatan rasmi China ke Malaysia bukan sekadar simbol keakraban diplomatik, tapi manifestasi kepercayaan, kesediaan kedua-dua negara memperkukuh kerjasama strategik.
“Dengan termeterainya 31 Memorandum Persefahaman (MoU) merangkumi sektor pendidikan, ekonomi digital, teknologi, perdagangan dan pelancongan, Malaysia dalam kedudukan strategik untuk mengangkat rakyatnya.
“Sabah harus tidak ketinggalan dalam kemajuan ini, MBS melihat ini sebagai peluang besar anak muda Sabah, khususnya dalam bidang utama teras pembangunan jangka panjang belia iaitu keusahawan dan pendidikan teknikal berasaskan kemahiran tinggi.
“Dalam keusahawanan, kerjasama ini yang meliputi bidang ekonomi digital, pembuatan pintar, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi kecerdasan buatan (AI), membuka medan baharu kepada belia untuk menembusi pasaran global dan menjadi pemain industri masa depan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Hilmie, peluang-peluang ini harus dijelmakan melalui program pemerkasaan bersifat inklusif dan progresif, bukan hanya di bandar, tetapi juga ke komuniti luar bandar dan pedalaman.
“Melihat kepada peluang keusahawanan ini, MBS mencadangkan agar sebuah hab inovasi atau pusat keusahawanan belia khusus untuk Sabah-China diwujudkan.
“Ini bagi menghubungkan usahawan muda Sabah dengan sumber latihan, sokongan teknologi dan akses pasaran di China.
“Kerjasama ini boleh menjadi pemangkin pembentukan kelompok usahawan digital tempatan yang lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi global,” jelasnya.
Sementara itu, Hilmie juga menjelaskan berkenaan aspek pendidikan teknikal dan teknologi digital yang turut harus diberi keutamaan.
“Sebahagian besar perjanjian Malaysia-China tertumpu kepada pembangunan bidang berimpak tinggi yang memerlukan tenaga mahir dalam STEM, TVET dan AI.
“Maka usaha-usaha Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) amatlah bertepatan dan harus diperkasa.
“Antara inisiatif yang signifikan termasuklah pelaksanaan Program Latihan Berteraskan Digital merangkumi kemahiran seperti realiti maya (VR), realiti tambahan (AR), asas AI dan pengkomputeran awan.
“Selain itu, hasrat dan perancangan penubuhan Pusat Kecerdasan Buatan Negeri Sabah dan Majlis AI Negeri Sabah merupakan langkah strategik ke arah menjadikan Sabah sebagai pemain teknologi yang dihormati, di peringkat nasional dan serantau ASEAN,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, MBS menyarankan agar penyelarasan antara MoU Malaysia-China dan agenda pembangunan modal insan negeri dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk memperluaskan peluang pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, program biasiswa serta penubuhan makmal bersama antara institusi pengajian tinggi Sabah dengan rakan kongsi dari China.
“Pada akhirnya, keberhasilan hubungan diplomatik ini harus dinilai berdasarkan sejauh mana rakyat, khususnya belia, mendapat manfaat secara langsung dari kerjasama erat ini.
“Sabah bukan hanya berhak mendapat ruang dalam pelaksanaan MoU ini, malah belia Sabah wajib menjadi sebahagian daripada pelaksana, pencetus dan penggerak kepada hasilnya,” kata beliau.
Tambahnya, MBS percaya bahawa generasi muda negeri ini memiliki kekuatan, kreativiti dan tekad yang luar biasa.
“Apa yang mereka perlukan ialah peluang yang adil, bimbingan yang berkesan dan ruang untuk menyerlah di pentas antarabangsa.
“Maka, kami menyeru agar satu pelan tindakan strategik belia Sabah-China dapat digerakkan segera agar tiada belia tertinggal dalam gelombang baharu hubungan dua hala ini,” katanya lagi.




