
IPOH – UMNO Perak turut akur dengan keputusan parti berkaitan tidak meneruskan perhimpunan solidariti terhadap Datuk Najib Tun Razak berhubung isu Titah Adendum pada Isnin depan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia selari dengan pendirian parti dalam teguh mendukung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta menjunjung kedaulatan dan keluhuran undang-undang.
Justeru, dalam masa sama, katanya, UMNO Perak menaruh keyakinan terhadap kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan rayuan terhadap kes yang dihadapi Najib.
Ini kerana jelasnya supaya mantan Perdana Menteri ke-6 antara pemimpin yang banyak berjasa kepada negara itu turut mendapat keadilan sewajarnya.
“UMNO Perak menjunjung kasih atas titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Baginda memberi pengampunan, menangguhkan dan meringankan hukuman bagi kesalahan seperti yang digariskan di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, UMNO Perak menyokong pendirian Ibu Pejabat UMNO agar semua tindakan berkaitan kes Najib diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah.
“Sejajar dengan titah Tuanku yang menganjurkan penghormatan kepada proses perundangan negara,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Terdahulu, UMNO dilaporkan membuat keputusan membatalkan hasrat meneruskan perhimpunan solidariti kepada Najib di Putrajaya, Isnin depan bagi menghormati titah terbaharu Seri Paduka.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti berkenaan akur kepada segala saranan serta menghormati kuasa pregoratif Yang di-Pertuan Agong, supaya menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan bagi kes bekas Perdana Menteri itu.
Sebelum ini, media turut melaporkan penganjuran Solidariti 4 Najib Razak yang akan diadakan di Istana Kehakiman Putrajaya oleh ahli UMNO sebagai tanda sokongan dan setia kawan terhadap Najib kerana jasa beliau selama ini.
Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda dalam isu berkenaan.