
TAPAH – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengingatkan parti yang bertanding untuk tidak mencetuskan sebarang politik kebencian yang boleh menyebabkan masyarakat merasa resah sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sentimen negatif itu perlu dielak agar tidak berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat hanya disebabkan perbezaan politik.
Tegasnya, semua parti termasuk pembangkang perlu berkempen secara matang dan sihat selain tidak mencerca pihak lawan sehingga dibayangi dengan permainan fitnah dan tuduhan palsu.
“Kalau sepanjang 14 hari ini naik pentas untuk menjalankan kempen silakan. Ini pesta demokrasi, keamanan pihak polis jaga. Jadi tugas kita adalah promosi calon kita. Berikan komitmen kita supaya masyarakat terbanyak boleh buat pandangan.
“Tetapi kalau kita naik pentas dengan cantik, mukadimah memuji nama Allah dan selawat ke atas nabi namun (ketika berkempen menyebut) kepala otak, bodoh. Jangan jadi begitu kerana keadaan seperti itu akan berbekas kepada hati masyarakat setempat,” katanya kepada media pada Majlis Hari Raya bersama RELA di Kampung Changkat Petai, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan, pilihan raya bukanlah lesen untuk mengumpat, menghina dan memfitnah orang lain dengan sebebasnya.
“Nak angkat calon kamu, nak disolek bahawa beliau yang terbaik silakan. Pilih calon ini, politik negeri lebih stabil, diwakili oleh calon kompeten selain akan membawa kepada pembangunan.
“Tetapi (kalau) pilih calon kami kerana calon lawan itu, parti dia adalah parti yang menyebabkan Islam terancam. Janganlah. Sweeping statement macam itu, semua itu adalah bibit-bibit kebencian. Kita kena jauhkan,” katanya.
Kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu, kriteria calon tidak boleh dinilai berdasarkan politik kebencian, namun ia perlu seiring dengan tawaran yang mampu diberikan kepada rakyat.
“Malaysia ini satu negara yang selama ini kita bangga bahkan dalam beberapa sudut dicemburui oleh banyak negara luar kerana penduduknya berbilang kaum, budaya, dan agama. Jadi, kita ini sudah sekian lama berbangga menjadi satu model kepelbagaian tapi boleh hidup bersama. Buktinya sejak merdeka sampai sekarang negara kita ini terus melonjak daripada negara agraria sampailah sekarang negara yang lebih kompleks.
“Jadi, tentunya ianya banyak disumbangkan oleh keadaan politik yang memberi kestabilan. Tapi keadaan itu tak boleh tak boleh ambil mudah bahawa kalau sekarang aman, dulu aman, maka amanlah selama-lamanya. Dia tak boleh jadi begitu, kalau ada elemen yang atas nama politik memilih jalur bahawa berbeza pendapat antara kami dengan kamu, berbeza pilihan, berbeza warna itu dijadikan asas untuk menanam bibit kebencian,” katanya.
PRK Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Februari, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir menentang calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 22 April.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam 25 April ini.





