
SANDAKAN – Hospital Duchess of Kent (HDOK) mempelawa mana-mana agensi awam, swasta mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menjadi penganjur program Kempen Derma Darah pada tahun hadapan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Tabung Darah HDOK, semua pihak diseru berganding bahu dengan Jabatan Perubatan Transfusi HDOK dalam usaha menyelamatkan nyawa melalui kempen derma darah.
“Program ini boleh diadakan di Pusat Derma Darah statik yang terletak di Bangunan Pakar HDOK Aras 4 atau di lokasi lain yang sesuai sebagai ‘Mobile Blood Drive’.
“Bagi yang berminat, boleh hubungi kami selewat-lewatnya sebulan sebelum program dilaksanakan,” kata hantaran tersebut.
Orang ramai boleh menghubungi talian 089-248600 (5720) pada waktu pejabat atau menghantar mesej kepada Admin Facebook Tabung Darah HDOK.





