SEJAK semalam, kira-kira 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara menikmati skim gaji baharu yang sudah sekian lama mereka nantikan.
Kali terakhir semakan terhadap kenaikan gaji penjawat awam dibuat sekitar 12 tahun lalu.
Maka, sudah selayaknya kumpulan yang menjadi ‘tulang belakang’ kepada operasi kerajaan Malaysia menikmati habuan seperti itu.
Semua penjawat awam memainkan peranan penting dalam menjayakan segala benda yang mahu dilaksanakan kerajaan.
Setiap seorang daripada jumlah kira-kira 1.6 juta itu, mempunyai sumbangan masing-masing untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik dan cemerlang.
Di sebalik hutang terkumpul ditanggung Kerajaan Perpaduan ketika ini yang melepasi RM1.3 trilion, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keutamaan terhadap kesejahteraan penjawat awam adalah tindakan sangat berani.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebelum ini dilaporkan berkata, penjawat awam perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan lebih efisien, selaras dengan kenaikan gaji diterima mereka.
Bukanlah sebelum ini pasukan penjawat awam ini tidak melaksanakan tugas diamanahkan dengan baik, cuma peringatan itu adalah sebagai suntikan semangat kepada mereka.
Jika prestasi ditingkatkan, produktiviti diperhebatkan, sudah tentu lebih banyak imbuhan menanti mereka.
Langkah Kerajaan Perpaduan meningkatkan skim gaji ini juga mempunyai matlamat dan sasaran yang lebih besar.
Ia bukan hanya bagi meningkatkan kualiti hidup penjawat awam itu sendiri, tetapi dalam masa yang sama, mencipta kumpulan pelaksana dasar kerajaan memiliki nilai integriti yang tinggi.
Semoga segala usaha Kerajaan Perpaduan dalam hal berkaitan kebajikan dan kesejahteraan warga penjawat awam ini memantapkan lagi sistem penyampaian dan tatakelola Malaysia.
Dan kepada penjawat awam, terima kasih atas sumbangan anda dalam meningkatkan jenama Malaysia di persada dunia.








