
HASIL siasatan awal berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, adalah selaras dengan diagnosis awal bahawa punca kematian berpunca daripada kecederaan akibat jatuh, kata Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, penemuan tersebut telah dimaklumkan kepada keluarga dan peguam yang mewakili keluarga mangsa.
“Pada peringkat diagnosis awal, doktor memaklumkan bahawa kematian adalah disebabkan oleh kecederaan otak traumatik yang teruk bersama hipoksia-isemia ensefalopati.
“Semua kecederaan yang ditemui ketika pemeriksaan bedah siasat telah dijelaskan kepada ibu mangsa dengan peguam hadir. Kecederaan tersebut adalah konsisten dengan penemuan sebelum ini dan berlaku akibat jatuh,” katanya pada sidang akhbar di ibu negara, hari ini.
Terdahulu, ibu mangsa, Noraidah Lamat, membuat laporan polis selepas menemui kesan lebam pada tubuh anaknya ketika proses memandikan jenazah.
Terdahulu, media melaporkan Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada 16 Julai lalu.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama pada kira-kira pukul 4 pagi sebelum disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kubur Allahyarham digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.



