LUNDU – Setiap kementerian dan agensi kerajaan kini diwajibkan melaksanakan program Hari Keluarga setiap November sebagai sebahagian sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) juga disarankan mengambil langkah yang sama dalam usaha memperkukuh institusi kekeluargaan.
“Langkah ini bertujuan memastikan setiap organisasi memberi fokus kesejahteraan kakitangan mereka melalui aktiviti kekeluargaan,” ujar beliau.
Selain itu, ujar Nancy lagi, majikan yang melaksanakan program kekeluargaan layak mendapat pelepasan cukai yang merupakan insentif yang dapat menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada sektor korporat.
“Program yang dilaksanakan ini selaras dengan usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai kasih sayang dan keharmonian berlandaskan prinsip Madani,” kata beliau ketika menghadiri Program Kem Kasih Keluarga dan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2024 peringkat Sarawak di Pantai Pugu pada Sabtu.
Sementara itu, Nancy memaklumkan pihak kerajaan memperuntukkan RM3.6 bilion dalam Belanjawan 2024 dalam usaha merealisasikan agenda pemerkasaan keluarga.
“Peruntukan ini akan digunakan untuk pelaksanaan program kesejahteraan keluarga secara menyeluruh dan inklusif di seluruh negara,” kata beliau lagi.




