KUANTAN – Kekurangan bekalan kelapa untuk menampung keperluan menyaksikan harga santan pekat mencecah RM16 sekilogram di Pahang, ketika ini.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Sim Chon Siang berkata, masalah itu mula dikesan sejak Ogos lalu sehingga awal bulan ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu daripada PKR berkata, bekalan kelapa di Pahang masih belum pulih sepenuhnya dan pelbagai usaha dilakukan untuk menyelesaikannya.
“Sebiji kelapa sekarang dijual pada harga RM3.50 sebab diimport dari Indonesia kerana bekalan tidak cukup di negara ini.
“Bagi sekilogram santan pekat mungkin memerlukan empat biji kelapa, keuntungan hanya RM2 bagi setiap sekilogram.
“Kita tidak import kelapa dari Thailand kerana negara itu juga menghadapi masalah kekurangan bekalan.
“Kenaikan harga santan pekat bukan sahaja berlaku di Jerantut, malah di seluruh Pahang.
“Oleh itu, kerajaan negeri sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan kelapa bulan ini,” katanya ketika mencelah pada sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2025 oleh ADUN Damak daripada Pas, Zuridan Mohd Daud.
Pada sesi perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang itu, Zuridan berkata, peniaga santan di Jerantut mengeluh dengan kenaikan harga kelapa.






