NIK Nazmi Nik Ahmad menegaskan yang beliau tidak akan sesekali mengkhianati partinya.
Bekas Naib Presiden PKR itu berkata, beliau hanya meletakkan jawatan sebagai menteri selepas tewas dalam pemilihan parti.
“Kami letak jawatan. Kami tak akan khianat parti,” katanya dalam hantaran di platform X.
Semalam, Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengemukakan peletakan jawatan sebagai Jemaah Menteri.
Pada 23 Mei lalu, beliau gagal mempertahan jawatan naib presiden PKR dalam pemilihan parti itu.
Peletakan jawatan beliau sebagai anggota Kabinet dilakukan beberapa jam selepas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan perkara yang sama.
Terdahulu tular di media sosial nama ahli Parlimen PKR yang didakwa akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nama Nik Nazmi turut tersenarai dalam 11 ahli Parlimen PKR yang didakwa akan menarik sokongan.






