R&D sektor pertanian perlu diperluas secara holistik

SERDANG – Wujud keperluan agar penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pertanian diperkasa secara holistik demi melahirkan lebih banyak inovasi yang akan memberi pulangan ekonomi kepada rakyat dan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, teknologi dan pengetahuan yang dihasilkan institusi penyelidikan seperti MARDI perlu disampaikan secara meluas kepada masyarakat.

Menurut beliau, ia bukan sahaja berdaya guna, malah dapat dimanfaatkan secara menyeluruh dalam rantaian nilai industri makanan negara.

“ShowTech MARDI 2025 merupakan satu platform penting bagi menyampaikan hasil penyelidikan, inovasi dan teknologi agromakanan kepada rakyat serta pemain industri.

“Ia bukan sahaja mempamerkan kejayaan teknologi, tetapi juga membuka ruang kerjasama, pemindahan teknologi dan potensi komersialisasi ke pasaran lebih luas,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ShowTech MARDI 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Arthur menekankan bahawa pendekatan bersepadu antara ejen pengembangan dan institusi teknologi amat penting bagi memastikan pemindahan ilmu berjalan lancar dan selari dengan peralihan zaman.

“ShowTech ini menjadi aspirasi kepada kelancaran dan kerancakan aktiviti pemindahan teknologi, sekali gus menjamin kesinambungan bekalan makanan negara.

“Antara tarikan utama program ini adalah lawatan ke plot tanaman yang sedia untuk dituai, di mana orang ramai berpeluang merasai sendiri pengalaman memetik sayur-sayuran secara terus dari ladang,”, katanya.

Sementara itu, Dr Azman menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program lima hari ini yang berlangsung dari 29 Mei hingga 2 Jun depan bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam di MAEPS dan Ibu Pejabat MARDI, Serdang.

Beliau memaklumkan, ShowTech MARDI 2025 memberi tumpuan kepada lapan kluster utama iaitu Padi dan Beras, Tanaman Bernilai Tinggi, Teknologi Makanan, Pertanian Pintar, Tanaman Industri, Teknologi Ternakan, Agro Pelancongan serta Pemindahan Teknologi.

“Umum mengetahui bahawa sektor pertanian dan industri makanan merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dan penyumbang besar kepada jaminan bekalan makanan.

“Pemindahan teknologi adalah tulang belakang kepada kelestarian keseluruhan ekosistem pertanian daripada pengeluaran, pemprosesan, pengedaran hingga kepada keselamatan dan pemakanan rakyat. Sebanyak lebih 200 teknologi dan inovasi dipamerkan termasuk hasil-hasil penyelidikan selama 56 tahun oleh MARDI.

“Platform ini memberi peluang kepada semua petani, penternak, usahawan, pelajar, NGO dan masyarakat umum untuk melihat secara langsung aplikasi teknologi dalam sektor agromakanan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Azman melahirkan harapan agar ShowTech MARDI 2025 menjadi platform inspirasi bagi menggalakkan generasi muda meneroka bidang pertanian sebagai kerjaya masa hadapan.

“Semoga ShowTech menjadi pemangkin kepada gelombang baharu dalam bidang agromakanan negara. MARDI komited untuk terus mendukung agenda Malaysia Madani dalam menjamin kelestarian sektor pertanian dan keterjaminan makanan untuk semua,” katanya.

Terdahulu, ShowTech MARDI pada tahun ini memperkenalkan teknologi menarik seperti Analog Keju, Minuman Mikroemulsi Santan, Granola Nanas, Bawang Hitam Kawalan Kolesterol, RozeT (Tisane Roselle Campuran) dan Nuget Analog Daging daripada Komposit Rumpai Laut.

R&D terbabit dibangunkan dengan teknologi pemprosesan terkini dan melalui kajian saintifik yang kukuh.

Sebagai usaha menjalin kerjasama antara penyelidikan dan industri, turut diadakan majlis pertukaran dokumen perjanjian (MOA dan MOU) antara MARDI dan beberapa syarikat serta universiti tempatan termasuk WANSE Engineering, Fasclone ABI Sdn. Bhd., Genting Green Sdn. Bhd. dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

MARDI juga menyerahkan touchpoints dan geran khas kepada usahawan bimbingannya, antaranya di bawah program Change Upgrade Product (CUP), High Impact Product (HIP), Agropelancongan dan Agropreneur Muda.

Selain pameran teknologi, ShowTech MARDI 2025 menampilkan pelbagai aktiviti seperti demo teknologi, seminar dan pocket-talk, padanan perniagaan, Klinik Tanaman dan Klinik Usahawan.
Zon luar pula dipenuhi plot tanaman jagung, bawang, kubis dan teknologi pertanian moden yang boleh dilawati oleh pengunjung.

Menariknya, sempena cuti sekolah, zon khas ‘Laman Kids Attraction’ turut disediakan bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai budaya pertanian secara interaktif dan menyeronokkan di samping boleh melawat laman ternakan, laman herba dan laman kelulut.


Sebagai salah satu kemuncak acara, pada 31 Mei nanti, MARDI akan melancarkan platform e-dagang (e-commerce) terbaharunya iaitu MardiAgroshoppe, sebuah inisiatif digital yang menyasarkan pasaran tempatan untuk memasarkan produk-produk pertanian secara terus kepada pengguna.

MardiAgroshoppe dijangka menjadi platform e-dagang utama negara dalam sektor pertanian yang menawarkan pengalaman membeli-belah dalam talian yang selamat, pantas dan mudah.

Related Posts

Sinergi JKOM dan UKAS perkukuh komunikasi strategik, eratkan hubungan Persekutuan-Sarawak

KUCHING – Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jangan risau, saya berundur demi pemerkasaan gerak kerja Pemuda UMNO – Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyeru kepada semua penyokongnya agar tidak risau dengan pengumuman beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Exco kerajaan negeri Melaka. Ahli…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Isu monyet liar: MBI ambil langkah pengawalan di Gunung Lang

Isu monyet liar: MBI ambil langkah pengawalan di Gunung Lang

Dana Zakat i-Asnaf: Petronas bantu ringankan beban 500 keluarga di Miri

Dana Zakat i-Asnaf: Petronas bantu ringankan beban 500 keluarga di Miri

Parit tanah, struktur haram punca banjir kilat di Piasau Utara

Parit tanah, struktur haram punca banjir kilat di Piasau Utara

ADUN Tebedu tinjau kerosakan bencana, mahu penyelesaian segera untuk rakyat Serian

ADUN Tebedu tinjau kerosakan bencana, mahu penyelesaian segera untuk rakyat Serian

Balingian terima suntikan RM94 juta, laksana lima projek impak tinggi

Balingian terima suntikan RM94 juta, laksana lima projek impak tinggi

Polis Saratok tidak berkompromi kelab haram, ancam keselamatan awam

Polis Saratok tidak berkompromi kelab haram, ancam keselamatan awam