EKONOMI negara akan dipasak lebih kukuh pada tahun depan selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 yang mengunjurkan anggaran RM421 bilion.
Penganalisis ekonomi menilai penegasan Perdana Menteri untuk tidak melaksanakan projek mega sebagai langkah positif kerana belanjawan kali ini jelas menggambarkan usaha keras kerajaan mengupayakan kesejahteraan rakyat rentan berbanding projek-projek besar.
Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, meskipun tidak projek mega yang bakal dilaksanakan kerajaan namun untuk menyediakan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi banyak pelaburan modal yang perlu dibuat oleh kementerian-kementerian.
Menurut beliau, Belanjawan 2025 dilihat sebagai belanjawan yang berfokus kepada rakyat dengan penekanan kepada bantuan dan pengagihan kewangan kepada semua lapisan masyarakat.

“Belanjawan 2025 ini tidak menyertakan projek-projek mega yang memakan perbelanjaan besar, sebaliknya memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan. Tak ada projek mega, saya lihat ini sebagai positif. Hal ini kerana apabila tidak ada projek mega maka kerajaan akan menumpukan kepada perbelanjaan golongan berpendapatan rendah untuk meningkatkan kesejahteraan keluarga.
“Pun begitu, banyak pelaburan modal yang perlu dibuat oleh kementerian-kementerian misalnya Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bina dan baik pulih sekolah, manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu bina rumah mampu milik.
“Begitu juga dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) beli banyak aset ketenteraan maka ini akan berikan peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat besar di negara ini,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press pada Sabtu.
Tambah Barjoyai lagi, pelabur asing daftar untuk melabur RM370 bilion dan jika semua datang ia akan beri kesan pengganda yang besar kepada kerancakan ekonomi negara termasuk peluang pekerjaan.
“Dalam belanjawan ini saya sangat tertarik ialah bagaimana kerajaan secara perlahan-lahan mewujudkan satu ruang untuk menambah pendapatan.
“Perdana Menteri memperkenalkan Cukai Dividen, ini merupakan satu cukai yang sangat produktif di negara maju dan ini akan dikenakan kepada pemegang saham yang menerima dividen melebihi RM100,000.
“Saya rasa ini akan menjadi satu sumber cukai yang besar di samping cukai keuntungan modal yang juga diperkenalkan dan ini akan jadi dua sumber pendapatan negara yang akan melonjakkan jumlah kutipan cukai daripada 12.5 peratus hari ini untuk menjadi 15 peratus.
“Jadi mungkin kita tidak perlu timbangkan GST lagi dah pada masa akan datang,” ujar beliau.
Berkait sumber pendapatan, Barjoyai menyatakan, kerajaan masih lagi akan meminjam RM80 bilion untuk tampung defisit Belanjawan 2025.
“Oleh itu, sebahagian akan ditampung menerusi kenaikan cukai-cukai seperti perkhidmatan, cukai dividen, cukai keuntungan modal dan cukai import,” jelas beliau.
Menyentuh cadangan rasionalisasi cukai Petrol RON95, beliau berkata syor itu hanya akan diputuskan pada pertengahan tahun 2025 jadi kesannya belum lagi dapat dinilai.
“Dalam pada itu, kerajaan sudah tambah jumlah bantuan Rahmah dari RM10 bilion kepada RM13 bilion bantuan kepada golongan rentan, bujang yang libatkan 10 juta penerima isi rumah termasuk juga insentif kepada peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis ekonomi, Dr Bahyah Baba memuji kerajaan yang mengumumkan tidak ada projek mega akan dibangunkan tahun depan kerana langkah itu membuktikan kerajaan melaksana belanja berhemah dengan memilih untuk menyelesaikan projek yang ada terlebih dahulu.
Bahyah malah yakin Belanjawan 2025 yang dinilai agak menyeluruh ini akan memacu negara ke era yang lebih baik pada masa akan datang.

“Golongan B40 akan dapat banyak lagi bantuan untuk meringankan beban hidup mereka.
“Gaji minima RM1,700 dapat menaik taraf kehidupan golongan itu.
“Begitu juga dengan kenaikan gaji penjawat awam ia sekali gus akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, Bahyah menjangkakan perkembangan ekonomi negara akan menarik kedatangan lebih ramai pelabur asing.







