
STRATEGI dan langkah penstrukturan semula ekonomi semakin membuahkan hasil, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pertumbuhan dalam bidang seperti sumber tenaga baharu adalah antara yang paling menjadi tumpuan.
“Melalui mesyuarat Majlis Tenaga Negara, tumpuan dan penelitian kepada kertas pembentangan diberikan keutamaan.
“Kertas pembentangan itu berkaitan pengurusan peralihan tenaga dan mengimbangi trilema tenaga merangkumi jaminan bekalan, akses kepada bekalan dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar dalam perkembangan sama memaklumkan, antara perkara lain dibincangkan adalah usaha meningkatkan persaingan pasaran gas dan rangka kerja kawal selia bagi infrastruktur pembekalan gas di Semenanjung Malaysia.
“Justeru, saya tekankan bahawa kejelasan arah tuju dan momentum ini perlu didukung dengan kepantasan membuat keputusan dan pelaksanaan oleh kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” ujarnya.
Ini adalah mesyuarat kali kedua Majlis Tenaga Negara.
Mesyuarat kali pertama berlangsung pada April lalu yang memberi fokus kepada jaminan bekalan gas dalam konteks peralihan tenaga dan keterjaminan bekalan elektrik di Semenanjung. Malaysia.