
LIMBANG – Festival Sukan Kedayan Limbang 2025 bukan sekadar medan riadah dan hiburan, sebaliknya menjadi wadah penting dalam mengangkat martabat warisan sukan tradisional masyarakat Kedayan serta memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat pelbagai kaum.
Pengerusi Majlis Daerah Limbang merangkap Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang, Sufian Mohat berkata, festival berkenaan mencerminkan komitmen Persatuan Kedayan dalam usaha memelihara identiti, budaya dan warisan bangsa agar terus diwarisi generasi muda.
“Kita mahu menghidupkan semula sukan-sukan tradisional yang menjadi kebanggaan nenek moyang kita. Festival ini memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali akar budaya sendiri serta menanam rasa bangga terhadap warisan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Sukan Kedayan Limbang dan Randau Majlis Daerah Limbang pada Ahad.
Menurut beliau, pihak persatuan turut menerima saranan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) agar mengangkat semula aktiviti warisan seperti sukan tradisional sebagai tarikan pelancongan berasaskan budaya di Sarawak.
“Keunikan sukan tradisional ini berpotensi besar jika dikembangkan dengan pendekatan yang lebih kreatif. Selain meningkatkan sektor pelancongan tempatan, ia juga menjadi usaha penting dalam memastikan warisan ini tidak pupus ditelan zaman,” ujarnya.
Antara sukan yang diketengahkan dalam festival itu ialah tarik upih, lumba guni, sepak raga bulatan dan pelbagai permainan rakyat Kedayan, yang mendapat sambutan meriah daripada penduduk tempatan.
Sufian berkata, sambutan menggalakkan daripada masyarakat membuktikan bahawa minat terhadap sukan tradisional masih wujud dan boleh diperkasakan melalui pendekatan yang mesra belia dan moden.
“Walaupun kita semakin maju dan terdedah kepada sukan moden, matlamatnya tetap sama iaitu membina kesihatan, memperkukuh perpaduan dan mengekalkan keharmonian masyarakat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Persatuan Kedayan Limbang kini sedang mempergiat usaha menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai persatuan agar kesinambungan kepimpinan dan warisan Kedayan dapat diteruskan.
“Kita mahu anak muda melihat persatuan ini sebagai platform untuk mereka menyumbang tenaga dan idea demi kemajuan masyarakat Kedayan. Melalui keahlian, banyak manfaat boleh diperoleh termasuk peluang memperkukuh jaringan sosial dan ekonomi,” tambahnya.
Sufian yang juga Pengerusi Majlis Daerah Limbang (MDL) turut mengambil kesempatan mengingatkan masyarakat tentang kepentingan menjelaskan cukai kepada pihak majlis, yang menjadi sumber utama bagi melaksanakan projek pembangunan di daerah itu.
“Ramai tidak sedar bahawa hasil cukai memainkan peranan besar dalam pembangunan tempatan. Kegagalan menjelaskan cukai boleh menjejaskan pelaksanaan projek kemudahan awam,” katanya.
Beliau menjelaskan, program Randau Majlis Daerah Limbang yang diadakan bersempena festival berkenaan memberi ruang kepada masyarakat memahami fungsi dan kepentingan sistem percukaian, selain memberi peluang kepada pihak majlis untuk menjelaskan dasar serta rancangan pembangunan setempat.
“Kita merancang untuk mengadakan siri jelajah ke kampung-kampung bagi memberikan penerangan lanjut mengenai sistem cukai dan kesannya terhadap kemajuan daerah,” katanya lagi.
Tambah beliau, MDL akan terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat melalui pelbagai inisiatif berteraskan pendidikan, kesedaran dan pembangunan komuniti agar Limbang terus berkembang sebagai daerah maju dan sejahtera.

“Pembangunan yang berjaya ialah pembangunan yang dirasai rakyat. Kerjasama erat antara kerajaan tempatan dan masyarakat amat penting bagi memastikan kemajuan yang inklusif dan berkekalan,” katanya.
Festival Sukan Kedayan Limbang disertai pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kekitaan yang menjadi asas kekuatan komuniti di Limbang.




