
PUTRAJAYA – Ramadan kini bukan sekadar bulan ibadah, tetapi berubah menjadi satu pengalaman sosial yang semakin ‘hidup’ di kota raya.
Fenomena ‘masjid hopping’ menjadi tren dalam kalangan umat Islam, khususnya anak muda yang memilih untuk bergerak dari satu masjid ke satu masjid bagi menunaikan solat tarawih dan mengikuti program keagamaan.
Tinjauan The Malaysia Press (TMP) mendapati perkongsian lokasi masjid lengkap dengan jarak berjalan kaki dari stesen pengangkutan awam, kemudahan parkir serta suasana solat yang kondusif menjadi antara perhatian tinggi di kalangan masyarakat.
Menariknya, Putrajaya dan Cyberjaya antara lokasi yang sering menjadi destinasi awal ‘masjid hopping’. Reka bentuk masjid yang ikonik, ruang solat luas serta persekitaran lebih tenang berbanding pusat bandar menjadikan kawasan ini pilihan utama, khususnya pada hujung minggu.
Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau dikenali Masjid Besi misalnya, sering menjadi tumpuan kerana seni bina moden berkonsepkan keluli serta suasana terbuka yang memberi pengalaman solat berbeza di samping kedudukannya di pusat pentadbiran negara turut menjadikannya simbolik dan tarikan tersendiri bagi jemaah luar kawasan.
Di Cyberjaya, Masjid Raja Haji Fi Sabilillah menjadi pilihan komuniti setempat dan warga profesional muda. Faktor kawasan yang tersusun, kemudahan parkir yang lebih lapang serta suasana komuniti bandar pintar memberi pengalaman tarawih yang lebih santai dan teratur.

Manakala di sekitar Lembah Klang, beberapa masjid dikenal pasti menjadi pilihan kerana lokasinya yang strategik dan menawarkan kemudahan yang mudah diakses melalui rangkaian LRT, MRT serta monorel.
Antara yang sering menjadi sebutan ialah Masjid Al-Sultan Abdullah kerana kedudukannya yang strategik, di mana ia hanya kira-kira 900 meter dari LRT/MRT Pasar Seni, 850 meter dari MRT Merdeka dan hanya dalam jarak berjalan kaki iaitu kira-kira 200 meter dari Monorel Maharajalela.
Turut menjadi pilihan warga kota ialah Masjid As-Syakirin KLCC, terletak di tengah pusat bandar serta mudah diakses melalui MRT dan LRT. Hanya 240 meter dari MRT Persiaran KLCC, 400 meter dari LRT KLCC dan 550 meter dari LRT Ampang Park.
Bagi mereka yang bekerja di kawasan Bangsar dan Universiti Malaya, Masjid Ar-Rahah menjadi pilihan. Dengan jarak sekitar 600 meter dari LRT Kerinchi dan satu kilometer dari LRT Universiti.
Masjid TNB Bangsar pula hanya kira-kira lima minit berjalan kaki dari LRT Abdullah Hukum manakala Masjid Negara turut kekal sebagai antara destinasi utama kerana nilai sejarah dan mudah akses, hanya sekitar lima minit sekiranya berjalan kaki dari Pasar Seni.
Tren ini bukan sekadar soal ‘check-in’ atau kelainan lokasi. Ia secara tidak langsung menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan memperkukuh ukhuwah sesama jemaah yang terdiri daripada latar belakang berbeza dalam satu ruang ibadah.
Bagi sebahagian anak muda, pengalaman mendengar bacaan imam berbeza, menyertai moreh dan program tazkirah serta menikmati suasana Ramadan di lokasi berlainan menjadi tarikan tersendiri.
Fenomena ini memperlihatkan bagaimana Ramadan di kota besar berkembang menjadi pengalaman rohani yang lebih dinamik dengan memadukan ibadah, mobiliti dan interaksi komuniti dalam satu perjalanan spiritual yang dikongsi bersama.







