Trans-Borneo: Sarawak sokong, mahu pelbagaikan mod pengangkutan

KUCHING – Cadangan projek mega Kereta Api Trans Borneo (TBR) disambut baik berikutan potensinya sebagai pemangkin ekonomi dan logistik yang efisien untuk wilayah ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif tersebut merupakan satu langkah positif ke arah meluaskan jaringan pengangkutan yang menghubungkan Sarawak, Brunei, Sabah, dan Kalimantan.

Menurut beliau, sekiranya direalisasikan, rangkaian kereta api laju itu mampu menjadi alternatif yang sangat praktikal bagi sektor logistik serantau, terutamanya untuk mengangkut sumber-sumber ekonomi berskala besar.

“Borneo ini kaya dengan pelbagai sumber ekonomi, antaranya seperti hasil mineral dan kelapa sawit. Mod pengangkutan (seperti kereta api) ini pastinya dapat memacu dan memudahkan lagi pergerakan sumber-sumber tersebut dengan lebih cekap,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa projek merentasi sempadan itu pada masa ini masih kekal pada peringkat kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) secara terperinci dan belum mencapai mana-mana fasa pembinaan.

Kenyataan beliau itu selari dengan perkembangan terbaharu pada peringkat kerajaan Persekutuan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Selasa menasihati pihak perunding projek TBR agar mengambil kira pelan ekonomi kerajaan Sarawak dan Sabah sebelum membuat sebarang keputusan.

Tegas Anthony ketika menerima taklimat awal berkenaan laporan interim kebolehlaksanaan TBR di Putrajaya, langkah tersebut penting bagi memastikan jajaran yang dicadangkan benar-benar boleh memacu pembangunan serantau secara seimbang di Borneo.

“Sekiranya dilaksanakan, cadangan TBR ini akan mengambil masa berpuluh tahun untuk direalisasikan, namun amat penting agar batu asasnya dalam bentuk rancangan jangka panjang disediakan sekarang,” katanya.

Untuk rekod, TBR merupakan inisiatif yang dirancang bagi menyediakan perkhidmatan kereta api laju berjarak sepanjang 1,620 kilometer merentasi kepulauan Borneo.

Fasa pertama projek tersebut dijangka bermula dari Pontianak, Kalimantan Barat menghala ke Kuching, Brunei dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.

Fasa kedua pula disasarkan untuk menghubungkan Brunei dengan kawasan Kalimantan Utara dan Timur, seterusnya membina laluan terus ke ibu kota baharu Indonesia, Nusantara.

Laporan kebolehlaksanaan akhir bagi projek mega ini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini selepas pihak perunding selesai mengadakan sesi libat urus tambahan bersama pihak-pihak berkepentingan di Sabah dan Sarawak.

Related Posts

Penduduk P.Pinang sokong sambungan jajaran LRT Laluan Mutiara

GEORGE TOWN – Sebanyak 99 peratus daripada lebih 16,000 responden menyatakan sokongan terhadap cadangan sambungan jajaran Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, sekali gus mencerminkan penerimaan tinggi rakyat terhadap…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kutipan zakat fitrah Pulau Pinang melonjak hampir RM10 juta

BUKIT MERTAJAM – Kutipan zakat fitrah di Pulau Pinang bagi Ramadan tahun ini mencatat peningkatan memberangsangkan apabila hampir mencecah RM10 juta setakat 9 April lalu. Timbalan Ketua Menteri I, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Data tidak menipu!

Data tidak menipu!

Penduduk P.Pinang sokong sambungan jajaran LRT Laluan Mutiara

Penduduk P.Pinang sokong sambungan jajaran LRT Laluan Mutiara

Saya diberi amanah rampas kembali kerusi Parlimen Indera Mahkota – Farhan

Saya diberi amanah rampas kembali kerusi Parlimen Indera Mahkota – Farhan

Kutipan zakat fitrah Pulau Pinang melonjak hampir RM10 juta

Kutipan zakat fitrah Pulau Pinang melonjak hampir RM10 juta

Seleweng diesel tumpas, KPDN Perak rampas lebih 5,000 liter

Seleweng diesel tumpas, KPDN Perak rampas lebih 5,000 liter

Subsidi bersasar jadi penampan hadapi krisis tenaga global

Subsidi bersasar jadi penampan hadapi krisis tenaga global