KUANTAN – Penghayatan erti pengorbanan diterjemah penduduk FELDA Jengka 24, dekat Jerantut, sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Menerusi inisiatif Ketua Peneroka, Razak Daud bersama warga peneroka dan anak perantau yang pulang beraya, sebanyak 45 lembu korban berjaya dikumpulkan bagi program korban perdana FELDA Jengka 24.
Program itu berlangsung meriah dalam suasana kekeluargaan yang erat, pagi semalam.
Razak ketika ditemui pada program itu memberitahu, ibadah korban bukan sahaja mencerminkan keprihatinan peserta korban semata-mata.
“Paling utama adalah ke mana ibadah korban itu akan membawa kita… dan saya lihat apa yang kita buat pagi ini menunjukkan sikap rendah diri semua pihak yang terlibat.
“Kerjasama diberikan sangat baik dan ia juga menjadi tanda bahawa hubungan masyarakat di FELDA Jengka 24 berada di tahap yang amat memuaskan,” katanya.
Sementara itu, Razak memaklumkan pihaknya juga sedang mengumpul dana bagi membina bangunan pejabat untuk masjid kariah FELDA Jengka 24.
![]()
Katanya, sumbangan bagi tujuan itu boleh dilakukan dengan cara mengimbas kod QR disediakan pihak pengurusan masjid atau menyumbang ke akaun Bank Islam bernombor 06037010055188 milik masjid berkenaan.






