KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI mengesahkan enam daripada tujuh kapal Malaysia sudah belayar melepasi Selat Hormuz dan kini dalam perjalanan membawa bekalan minyak mentah ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sementara sebuah lagi kapal yang membawa bekalan terbabit tersadai di pelabuhan akibat mengalami kerosakan.
Menurutnya, perkembangan itu dimaklumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam taklimat tengah hari tadi, berhubung kemudahan pengangkutan dan logistik bekalan minyak negara.
“Alhamdulillah semua terlepas… satu sudah pun hampir sampai, satu sudah berlepas cuma satu kapal kita mengalami kerosakan yang tersadai di pelabuhan. Jadi yang enam lagi itu berjalan.
“Kita berharap bekalan minyak untuk April dan Mei itu nampak masih dalam keadaan yang sangat terkawal,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah, Cheras Baru, pada Jumaat.
Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan bekas Ahli Parlimen Singapura yang menyindir Malaysia kerana berunding dengan Iran, Anwar berkata, ia merupakan pandangan mereka dan kerajaan akan terus menjalin hubungan yang baik selain menyatakan pendirian tegas mengenai konflik di Asia Barat.
“Kita tidak boleh bincang tentang tindak balas Iran tetapi tidak bicara tentang kezaliman dan serangan biadab Israel ke atas Iran dengan sokongan Amerika Syarikat (AS).
“Dalam dasar luar kita itu jelas tetapi persahabatan dengan negara-negara jiran kita kena jaga,” katanya.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan kenyataan Vivian berkenaan yang turut menyebut republik itu berpandangan bahawa laluan melalui Selat Hormuz merupakan hak bagi semua negara dan bukannya keistimewaan yang diberikan oleh negara-negara yang bersempadan dengannya.








